
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Kewangan menjalankan kajian menyeluruh berhubung cadangan memperkenalkan sistem percukaian hibrid yang menggabungkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dipertanggungjawabkan untuk meneliti kesesuaian pelaksanaan sistem percukaian hibrid berkenaan.
Katanya, kementerian berkenaan diberikan masa untuk menyediakan laporan berkaitan cadangan itu sebelum dibawa semula untuk pertimbangan dan perbincangan Jemaah Menteri.
“Buat masa ini, cadangan itu masih di peringkat awal dan belum boleh diputuskan kerana memerlukan penelitian lanjut terhadap pelbagai aspek.
“Ini termasuk mengambil pengajaran daripada pelaksanaan GST sebelum ini selain isu yang dihadapi di bawah sistem SST ketika ini.
“Perkara ini akan diteliti Kementerian Kewangan sebelum dibawa untuk perbincangan dan keputusan di peringkat Kabinet,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, kerajaan tidak mahu membuat keputusan secara tergesa-gesa kerana perlu mengambil kira pengalaman pelaksanaan GST sebelum ini serta isu-isu yang timbul di bawah sistem SST yang sedang digunakan ketika ini.
“Perdana Menteri telah memaklumkan tentang keperluan untuk Kementerian Kewangan dan khususnya Menteri Kewangan II melakukan kajian penuh mengenai cadangan sistem percukaian hibrid SST-GST,” katanya.
Mengenai sama ada kerajaan menetapkan garis masa atau tarikh akhir untuk kajian berkenaan disiapkan, termasuk kemungkinan pengumumannya dibuat dalam pembentangan Belanjawan 2027 akan datang, Fahmi berkata perkara itu belum dimaklumkan.
Semalam, Anwar dilaporkan berkata kerajaan terbuka untuk mengkaji keperluan menggabungkan SST dan GST bagi menambah baik sistem percukaian negara supaya lebih progresif.
GST yang merupakan cukai penggunaan secara meluas diperkenalkan pada April 2015 pada kadar enam peratus ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018, kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) menggantikan GST dengan SST pada September tahun sama.
Cadangan mengkaji semula sistem percukaian itu penting bagi memastikan struktur cukai negara terus berupaya menjana hasil yang mampan, selain mengambil kira kesan terhadap rakyat dan aktiviti ekonomi.
Bagaimanapun, sebarang perubahan sistem percukaian perlu melalui penelitian menyeluruh termasuk aspek pelaksanaan, pematuhan, keberkesanan kutipan serta kesannya terhadap kos sara hidup.
Sementara itu, Fahmi berkata, undang-undang baharu yang bakal menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 hanya membabitkan penyelarasan aspek pentadbiran serta pengurusan institusi pendidikan tinggi dan tidak akan menyekat hak pelajar dan mahasiswa.
Fahmi berkata, Perdana Menteri menegaskan aspek membabitkan pelajar dan mahasiswa tidak seharusnya dimasukkan dalam undang-undang baharu itu.
“Perdana Menteri menegaskan bahawa sekiranya perlu diwujudkan atau digubal rangka undang-undang baharu, ia adalah untuk menyelaraskan aspek pentadbiran dan pengurusan universiti serta kolej universiti.
“Namun, aspek yang membabitkan pelajar dan mahasiswa tidak harus terkandung dalam undang-undang terbabit memandangkan undang-undang sedia ada, termasuk berkaitan polisi, masih terpakai,” katanya.
Fahmi berkata, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir turut memaklumkan perkara yang perlu diuruskan membabitkan pentadbiran universiti dan kolej universiti sebagai institusi pendidikan tinggi. – UTUSAN
The post Kajian menyeluruh cukai hibrid SST-GST appeared first on Utusan Malaysia.






