Kerajaan kekal SST, ambil komponen tertentu GST

LocalBusiness & Finance
20 Aug 2026 • 2:57 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerajaan kekal SST, ambil komponen tertentu GST

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam bentuk asal sebaliknya terbuka mengambil komponen tertentu daripada sistem cukai itu bagi menambah baik pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang penambahbaikan terhadap sistem percukaian perlu mengambil kira kepentingan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan kelompok miskin.

Menurut beliau, kerajaan boleh membuat penyesuaian terhadap SST termasuk mengambil beberapa elemen GST sekiranya langkah itu dapat memperkemas sistem percukaian negara.

“Kita boleh membuat beberapa penyesuaian atau menambah baik SST malah mengambil beberapa komponen GST jika perlu.

“Tetapi prinsip utama Kerajaan Madani adalah tidak mengenakan cukai kepada golongan yang sangat miskin. Oleh itu, GST sebagai satu prinsip tidak boleh dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan TikTok Shop Summit Malaysia 2026, di sini hari ini.

Anwar berkata, kerajaan pada masa sama perlu memastikan sebarang perubahan terhadap sistem percukaian tidak menambah beban kepada rakyat yang berada dalam kelompok pendapatan terendah.

Katanya, GST dalam bentuk asal merupakan cukai menyeluruh yang boleh memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat, termasuk golongan miskin.

“Saya tidak bersedia mempertimbangkan asas utama GST kerana ia merupakan cukai menyeluruh yang dikenakan kepada semua rakyat termasuk golongan paling miskin,” katanya.

Mengulas kemungkinan pelaksanaan cukai terhadap pembayaran elektronik, Anwar berkata, sebarang cadangan berkaitan perlu dinilai berdasarkan kerangka percukaian negara secara menyeluruh.

Beliau berkata, kerajaan akan terus mengambil pendekatan percukaian yang lebih adil dan bersasar bagi memperkukuh hasil negara tanpa menjejaskan kebajikan rakyat berpendapatan rendah.

Menurutnya, usaha meningkatkan hasil negara perlu dilaksanakan secara seimbang dengan keperluan melindungi kelompok rentan yang masih berdepan tekanan kos sara hidup.

Katanya, kerajaan akan terus menilai kaedah terbaik untuk memperkukuh sistem percukaian negara, termasuk menambah baik SST berdasarkan keperluan semasa.

“Yang penting, kita mahu sistem percukaian yang lebih baik, adil dan tidak membebankan golongan yang paling memerlukan,” katanya. – UTUSAN

The post Kerajaan kekal SST, ambil komponen tertentu GST appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved