
PETALING JAYA: Mekanisme kredit cukai input seperti yang digunakan dalam Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) perlu diterapkan dalam sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi mengurangkan kesan cukai bertindih serta tekanan kos sepanjang rantaian bekalan.
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Jacob Lee Chor Kok berkata, kelemahan struktur SST ketika ini ialah cukai yang dikenakan ke atas input perniagaan tidak semestinya boleh dituntut semula.
Jelasnya, keadaan itu menyebabkan kos cukai berkenaan menjadi sebahagian daripada kos pengeluaran dan seterusnya boleh diteruskan ke peringkat berikutnya dalam rantaian bekalan.
“FMM melihat merit dalam cadangan kerajaan untuk menerapkan ciri-ciri baik GST ke dalam SST, khususnya mekanisme kredit cukai input.
“Mekanisme kredit yang direka dengan baik dapat menangani masalah itu pada puncanya dengan membolehkan cukai yang layak dibayar ke atas input perniagaan dituntut semula,” katanya dalam kenyataan.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersedia mengkaji penggabungan ciri GST dan SST bagi menambah baik sistem percukaian negara, namun
pangkal sistem percukaian negara masih berasaskan SST.
Beliau berkata, FMM mencadangkan cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang dikenakan ke atas input perniagaan dibenarkan sebagai kredit atau diimbangi dengan liabiliti cukai.
Mekanisme itu dicadangkan meliputi bahan, mesin, logistik dan penghantaran, sewaan kilang, pembinaan kemudahan pengeluaran, pembiayaan serta perkhidmatan perniagaan lain yang layak.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohammad Mujaheed Hassan berkata, keutamaan kerajaan adalah memastikan sistem percukaian baharu cekap, telus dan mampu menjana hasil secara mampan tanpa membebankan rakyat.
“Jika ciri GST seperti mekanisme mengurangkan cukai berganda, meningkatkan ketelusan transaksi dan memperkukuh pematuhan boleh disesuaikan dalam kerangka SST, ia berpotensi menjadi penambahbaikan,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan sistem itu perlu berteraskan keadilan, kesederhanaan dan ketelusan, termasuk melindungi barangan serta perkhidmatan asas bagi mengelakkan kesan tidak seimbang terhadap golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Pada masa sama, prosedur pematuhan perlu dipermudah supaya PMKS tidak menanggung kos pentadbiran tinggi, manakala kerajaan perlu menjelaskan dengan jelas perubahan, pihak yang terlibat serta barangan atau perkhidmatan yang terkesan.
“Tempoh peralihan yang munasabah juga penting supaya perniagaan mempunyai masa mencukupi untuk menyesuaikan sistem dan operasi,” katanya. – UTUSAN
The post Penggabungan GST-SST perlu mekanisme kawal cukai bertindih appeared first on Utusan Malaysia.






