Kajian struktur pampasan yang adil bagi pekerja gig dijangka selesai September ini: Ramanan

LocalPolitics
1 Aug 2026 • 12:07 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Kajian struktur pampasan yang adil bagi pekerja gig dijangka selesai September ini: Ramanan

KUALA LUMPUR - Kajian berkaitan kadar pendapatan minimum (kadar lantai), formula yang digunakan serta standard minimum yang perlu diguna pakai bagi pekerja gig sedang dilaksanakan dan dijangka selesai pada September ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan dalam jawapan bertulis di Dewan Negara berkata, kajian bertajuk ‘Struktur Pampasan Yang Adil Bagi Pekerja Gig di Malaysia’ itu akan dibentangkan kepada Majlis Perundingan Gig (MPGig) untuk diperhalusi.

Jelasnya, MPGig akan membuat syor kepada kerajaan dan jika diluluskan, ia akan diwartakan melalui satu Perintah oleh Menteri Sumber Manusia dan Perintah tersebut akan mengikat semua pihak yang terbabit.

“Majlis Perundingan Gig (MPGig) telah ditubuhkan. Seramai 26 orang mewakili pekerja Gig (persatuan), entiti kontrak (majikan), pihak kerajaan, ahli akademik dan golongan pemikir (think tank) dilantik dan diwartakan bagi menyumbang idea untuk menghasilkan syor kepada pihak kerajaan berkaitan kadar pendapatan minimum (kadar lantai), formula yang digunakan serta standard minimum yang perlu diguna pakai.

“Melalui MPGig, persatuan-persatuan yang mewakili pekerja Gig yang dilantik menjadi anggota Majlis boleh berunding, memberi idea serta memperjuangkan hak-hak pekerja Gig,’’ katanya.

Image from: Kajian struktur pampasan yang adil bagi pekerja gig dijangka selesai September ini: Ramanan
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata MPGig akan membuat syor kepada kerajaan dan jika diluluskan, ia akan diwartakan melalui satu Perintah oleh Menteri Sumber Manusia dan Perintah tersebut akan mengikat semua pihak yang terbabit. - Gambar fail Bernama, 1 Ogos, 2026

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar yang meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan sejauh mana keberkesanan pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 sejak ia berkuat kuasa pada 31 Mac lalu termasuk bilangan pekerja gig yang telah menerima perlindungan di bawah Akta tersebut.

Mengulas lanjut, Ramanan berkata, Akta Pekerja Gig 2025 [Akta 872] berkuatkuasa mulai 31 Mac lalu dan sehingga Jun, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menerima 106 aduan melibatkan pertikaian di antara pekerja Gig dan entiti kontrak (majikan).

Daripada jumlah itu, katanya, 83 kes selesai manakala 23 kes lagi sedang dalam dan tiga kes dirujuk kepada Tribunal Pekerja Gig serta masih dalam proses sebutan.

Ramanan berkata, melalui penyertaan wakil pekerja gig, penyedia platform dan pihak berkepentingan yang berkaitan, MPGig menjadi platform utama yang membolehkan pelbagai pandangan, input dan maklum balas disalurkan kepada Kerajaan.

Pendekatan ini, ujar beliau, dapat memperkukuh pelaksanaan Akta 872 serta memastikan dasar dan inisiatif yang diperkenalkan lebih responsif terhadap keperluan sebenar industri dan pekerja gig.

“Bagi memastikan pematuhan oleh semua penyedia platform, kerajaan memperuntukkan mekanisme penguatkuasaan yang komprehensif di bawah Akta 872 yang memberi kuasa kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Jabatan Tenaga Kerja Sabah, Jabatan Tenaga Kerja Sarawak, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk melaksanakan penguatkuasaan mengikut bidang kuasa masing-masing. - 1 Ogos, 2026

The post Kajian struktur pampasan yang adil bagi pekerja gig dijangka selesai September ini: Ramanan appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved