Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia (PAVCKM) telah mengumumkan penutupan operasi pengeluaran televisyen bermula September ini dengan penutupan penuh dijadualkan pada Mac 2027. Langkah tersebut dijangka menjejaskan lebih 400 pekerja dan mencerminkan perubahan besar dalam industri elektronik global.

Nasib lebih 400 pekerja yang terjejas akibat penutupan kilang ini masih belum jelas. Bagaimanapun, kerajaan negeri Selangor sedang merangka pelan bantuan untuk mengurangkan kesan penutupan tersebut. Antara langkah yang dipertimbangkan termasuk menyalurkan pekerja ke kilang lain atau menyediakan latihan baharu agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan keperluan industri semasa.
Namun, cabaran utama ialah memastikan kemahiran sedia ada sepadan dengan permintaan industri masa kini, yang semakin bergantung kepada penggunaan mesin automatik serta teknologi moden berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan sistem pintar.

Selain itu, Kesatuan Pekerja Industri Elektrik (EIWU) turut dilibatkan bagi memastikan hak pekerja terpelihara serta suara mereka didengar dalam proses peralihan. Kerjasama ini penting agar usaha kerajaan memberi manfaat jangka panjang dan tidak sekadar menjadi penyelesaian sementara.
Dalam masa sama, kerajaan negeri akan mendapatkan angka sebenar pekerja yang diberhentikan daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor dan Perkeso. Berdasarkan data tersebut, bentuk bantuan yang sesuai akan dikenal pasti bagi membantu mereka. Sementara itu, pekerja yang terjejas digalakkan hadir ke pameran perjaya (Job Fair) anjuran kerajaan negeri untuk mendapatkan tawaran pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran mereka.





