'Kak Hasmah bayarkan dulu gelang.' Wan Azizah kenang kebaikan Tun Dr Hasmah, bagai kakak melayan adik

2 Oct 2026 • 12:40 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from:  'Kak Hasmah bayarkan dulu gelang.' Wan Azizah kenang kebaikan Tun Dr Hasmah, bagai kakak melayan adik

PEMERGIAN Tun Dr Hasmah Mohd Ali terus dirasai seluruh negara, terutama bagi mereka yang pernah mengenali termasuk Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

Baru-baru ini, Isteri Perdana Menteri itu sempat mengimbas kembali detik-detik manis bersama. Malah Wan Azizah sempat mengingati momen ketika mereka berada di Bamako, Mali  42 tahun yang lalu.

Kenangan itu tercipta  ketika mereka berdua bersama-sama mengikuti lawatan ke beberapa negara Afrika termasuk Mali pada 1984, sebelum meneruskan perjalanan untuk menunaikan umrah.

Ketika di bumi Mali, Dr Wan Azizah berkenan membeli gelang tangan ukiran perak, namun beliau menyedari tidak mempunyai wang tunai kerana pasar tersebut tidak menerima pembayaran menggunakan kad. Lantas, Dr Hasmah menawarkan diri untuk mendahulukan bayaran.

Image from:  'Kak Hasmah bayarkan dulu gelang.' Wan Azizah kenang kebaikan Tun Dr Hasmah, bagai kakak melayan adik

“Beliau bertanya, berkenan ke? Saya seganlah nak cakap, takkan isteri Perdana Menteri bayarkan. Tapi Kak Hasmah tetap cakap beliau boleh bayarkan dahulu gelang tangan tersebut.

“Saya pun fikir, kalau tak beli sekarang, bila lagi boleh datang ke sini. Akhirnya saya bersetuju Dr Hasmah membayar dahulu dan saya jelaskan kemudian,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian.

Dr Wan Azizah berkata, apa yang terpahat dalam ingatannya bukan soal wang, sebaliknya cara Dr Hasmah melayannya seperti seorang kakak yang membantu adiknya.

“Beliau memberikan saya ruang, memberikan saya peluang untuk membeli sesuatu. Dan sebagai seorang kakak, beliau tolong saya. Itu yang saya ingat,” katanya kepada Sinar Harian.

Dari Bamako, perjalanan mereka membawa kepada satu lagi pengalaman yang tidak mungkin dilupakan apabila mereka berpeluang memasuki Kaabah.

Menurutnya, Tun Dr Mahathir ketika itu turut diberikan peluang memasuki Kaabah dan beliau sendiri tidak menyangka akan mendapat kesempatan sama.

Image from:  'Kak Hasmah bayarkan dulu gelang.' Wan Azizah kenang kebaikan Tun Dr Hasmah, bagai kakak melayan adik

Bagaimanapun, Dr Wan Azizah perlu mengambil wuduk terlebih dahulu sebelum memasuki Masjidil Haram dan ketika itu bimbang akan terlepas peluang berkenaan.

“Saya ingat Dr Hasmah tidak tunggu dan saya akan terlepas peluang nak masuk. Tapi beliau tunggu saya selesai dan kami bersama rombongan dapat memasuki Kaabah. Alhamdulillah,” katanya.

Baginya, kedua-dua pengalaman di Bamako dan Makkah menjadi antara kenangan paling peribadi yang terus terpahat dalam ingatannya terhadap Dr Hasmah.

Kenangan manis bersama dan layanan yang diterimanya menggambarkan wanita yang dipanggilnya ‘Kak Hasmah’ itu sebagai seorang kakak yang penyayang dan sentiasa mengambil berat terhadap orang di sekelilingnya.

Lebih empat dekad kemudian, bantuan membeli gelang di Bamako dan tindakan Dr Hasmah menunggunya sebelum memasuki Kaabah kekal sebagai kenangan yang tidak ternilai.

“Beliau inspirasi hidup saya. Dia memberikan saya contoh dan juga pengajaran,” katanya.

Terdahulu, Allahyarham Tun Dr Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada 9.20 pagi Isnin lalu ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara.

Sumber: Sinar Harian

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved