
PENDAKI Jaslinda Saludin, 49, yang hilang selama 15 hari terdahulu menemui nota yang ditinggalkan anggota mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan pencarian.
Perkara itu didedahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, apabila Jaslinda yang ditemui selamat semalam sempat menyerahkan nota bertulis 'Kak Jas please stay satu tempat, orang ramai mencari akak' sebelum dibawa ke Hospital Tapah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, nota berkenaan dibawa keluar oleh Jaslinda dan ditunjukkan kepada pihak JBPM selepas dia ditemukan.
Menurutnya, nota tersebut ditinggalkan oleh Malim Gunung Perhutanan (MGP) Hafiz ketika menjalankan operasi pencarian di kawasan Kem Air Busuk.
“Nota itu ditinggalkan semasa membuat pencarian di kawasan berkenaan dengan fokus operasi dari Pos Musoh ke Kem Air Busuk pada 30 Mei lalu.
“Bagaimanapun, Jaslinda hanya tiba di kawasan berkenaan pada 5 Jun dan membawa bersama nota-nota tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Penemuan nota tersebut mengesahkan bahawa Jaslinda berada di sekitar kawasan pencarian yang telah difokuskan oleh pasukan SAR sepanjang operasi dijalankan meskipun tidak sempat bertembung.
Dalam pada itu, Jaslinda juga dimaklumkan berulang kali bergerak dalam kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sepanjang tempoh kehilangannya.
Sabarodzi berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, Jaslinda berpusing-pusing di kawasan pencarian termasuk turun ke sungai sebelum kembali semula ke kawasan tinggi.
“Berdasarkan maklumat daripada mangsa, dia berpusing-pusing di kawasan pencarian kami, turun naik ke sungai dan kembali semula ke kawasan tinggi.

“Memang kawasan itu adalah sektor yang kami telah masuk termasuk menggunakan helikopter,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Tapah di sini pada Sabtu.
Difahamkan, Jaslinda berada di sekitar kawasan Gunung Rayu dan Bukit Berapit sepanjang tempoh kehilangan serta bertahan hidup dengan sumber alam.
“Dia memaklumkan ada tiga hari tidak minum air dan hanya bergantung kepada air embun serta air sungai.
“Untuk makanan pula, dia mengambil tumbuhan seperti beri atau tumbuhan liar yang terdapat di dalam hutan,” katanya.
Jaslinda hanya berjaya keluar selepas dipercayai menyusuri laluan anak sungai.
Hasil pemeriksaan awal mendapati keadaannya stabil dan hanya mengalami kecederaan ringan termasuk kesan gigitan serangga serta luka kecil di bahagian kepala akibat terjatuh.

Berikut adalah kronologi kehilangannya selama 14 hari sebelum ditemukan komuniti Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu dekat Pos Musoh pada Sabtu.
23 Mei 2026
Jaslinda menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 peserta dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) pada 2.00 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung, Gunung Bah Gading dan Gunung Batu Putih, dengan sasaran keluar di Kuala Woh.
Sekitar pukul 10.00 malam hari sama, seorang peserta, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami sesak nafas dan muntah darah ketika pendakian lalu berhenti di Kem Batu Kor bersama seorang MGP dan Jaslinda.
Sementara itu, 12 peserta yang lain meneruskan perjalanan dan berjaya keluar di Tapah pada keesokan hari.
24 Mei 2026
Jaslinda yang dilapor mengalami sakit pada bahagian kaki dipercayai meneruskan pendakian secara bersendirian tanpa MGP ke puncak Gunung Batu Putih selepas berhenti rehat bersama kumpulan di kawasan itu.
Kali terakhir beliau dilihat oleh MGP adalah sekitar 7.30 pagi sebelum dilaporkan hilang.
25 Mei 2026
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama beberapa agensi lain. Pasukan Khas, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) digerakkan menggunakan helikopter bagi memulakan pencarian di kawasan altitud tinggi.
Mohd Hanafi berjaya diselamatkan dan dibawa ke Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor sebelum dihantar ke Hospital Tapah.
Pasukan SAR turut menemui kesan tapak kasut dipercayai milik Jaslinda di luar laluan utama pendakian.
26 Mei 2026
Operasi diperluas melibatkan kawasan Gunung Raya, Kem Sukaneka, Bukit Berapit dan Pos Musuh. Bantuan komunikasi digunakan melalui SAPURA menerusi Government Integrated Radio Network (GIRN).
Pasukan SAR turut menemui botol air dan bungkusan suplemen dipercayai milik mangsa, menguatkan andaian beliau tersasar daripada laluan asal.
27 Mei 2026
Pencarian tertumpu antara Kem Sukaneka dan Gunung Raya.
Pesawat AW139 digunakan bagi operasi udara, namun tiada petunjuk baharu ditemui.
28 Mei 2026
Operasi memasuki fasa kritikal selepas kehilangan melebihi 72 jam. Tumpuan diberikan di sepanjang Sungai Ayer Busok dengan andaian mangsa mungkin mencari sumber air.
Keterangan turut diambil daripada suami mangsa dan MGP.
29 Mei 2026
Unit dron digunakan bagi memantau kawasan cerun curam dan lokasi sukar diakses.
30 Mei 2026
Rakaman kamera Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) mengesahkan Jaslinda melintasi laluan ke Kem Sukaneka pada 11.22 pagi, 24 Mei.
31 Mei 2026
Operasi berdepan cabaran selepas penemuan najis haiwan liar dipercayai harimau kumbang di beberapa zon pencarian. Operasi tetap diteruskan.
1 Jun 2026
Lapan anggota tambahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dikerahkan ke sektor pencarian.
2 Jun 2026
Seramai 22 sukarelawan Orang Asli dari Kampung Ampang Woh menyertai operasi SAR di kawasan luar trek pendakian.
3 Jun 2026
Polis merakam percakapan 14 rakan ekspedisi bagi membantu siasatan.
4 Jun 2026
Operasi SAR diteruskan dalam skala lebih kecil.
Aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih ditutup sementara kepada orang awam.
5 Jun 2026
Penyertaan orang awam dan bukan Malim Gunung Perhutanan (MGP) dalam operasi SAR tidak lagi dibenarkan atas faktor keselamatan. Larangan aktiviti pendakian jenis day hike atau compressed hike di kawasan berisiko turut dikuatkuasakan.

6 Jun 2026
Selepas 14 hari operasi pencarian, Jaslinda ditemukan selamat oleh seorang penduduk kampung berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh sekitar pukul 3.00 petang.
Pendaki wanita itu kemudian dibawa ke rumah Tok Batin untuk tindakan lanjut pihak berkuasa dan dokumentasi rasmi.
Sumber: Sinar Harian, Bernama, Berita RTM






