Kaka Azraff Enggan Ulas Dakwaan Isu Rumah Tangga, Mohon Doa Yang Baik-Baik - “Saya Tak Lari, Cuma Jaga Banyak Hati”

24 Jul 2025 • 9:25 AM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Penyanyi, Kaka Azraff memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai dakwaan status rumah tangganya bersama suami, Adam Azriff yang dikatakan kembali bermasalah.
 

Tiada kepastian

Menurut Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 36, dia tidak berani untuk memberi sebarang kenyataan memandangkan tiada kepastian mengenai status hubungan mereka. 


 


Bagaimanapun dia berharap agar rakan-rakan dan peminat dapat mendoakan yang terbaik buat mereka sekeluarga. 


 

"Sebenarnya saya bukan nak mengelak, saya pun menghormati rakan media dan netizen yang ingin tahu tentang hal rumah tangga saya. 
 
"Cuma sekarang ini untuk saya beri kenyataan, benda pun tidak ada yang nyata lagi jadi saya tak mahu bercakap lebih lanjut. 

 


"Apa yang saya boleh katakan sekarang, saya mohon doa daripada semua. Doakan yang terbaik untuk saya, anak-anak dan Adam (suami)," katanya.


 


Kaka berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran Galeri Rockqueen yang diadakan di Denai Alam, Selangor pada Rabu. 


 

Jaga hati semua pihak

Namun kata Kaka, dia tidak menolak untuk berkongsi kepada umum sekiranya sudah mempunyai pengesahan tentang status rumah tangganya itu. 


 


Jelas Kaka lagi, dia tidak melarikan diri daripada menjawab persoalan tentang kemelut keluarga sebaliknya memilih untuk menjaga perasaan semua pihak terlibat termasuk keluarga.


 

"Hal ini melibatkan ramai orang. Sebelum ini ada orang kata sampai bila saya nak lari. Saya tidak melarikan diri, cuma sedang menjaga banyak hati. 
 
"Saya rasa kalau saya buka cerita ini (kisah keluarga) boleh mendatangkan fitnah. Jadi saya harap menghormati keputusan saya untuk tidak lagi berkongsi apa-apa. 

 


"Alhamdulillah saya bahagia disamping anak-anak dan keluarga. Sekiranya ada pengesahan tentang status saya selepas ini, mungkin saya akan kongsikan untuk mengelakkan fitnah," ujarnya. 


 

Kisah peribadi diterjemah dalam album baharu

 


Sementara itu, Kaka turut memberitahu bahawa kisah peribadi yang dilaluinya itu turut diterjemahkan dalam bentuk karya menerusi album baharu yang bakal dilancarkan tak lama lagi


 

"Selepas ini anda mungkin boleh selami hati saya menerusi lagu-lagu dalam album terbaharu nanti. 
 
"Buat masa ini saya sudah merakamkan enam buah lagu dan kesemuanya adalah luahan hati dan apa yang saya lalui.

 


"Kebanyakan lagu ditulis oleh saya sendiri dan ceritanya adalah sangat dekat dengan diri saya," katanya. 


 


Untuk rekod, Kaka dan Adam mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018. 


 


Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Aslan, 6, Aryan, 4 dan Atta Adam yang kini berusia setahun. 


 


Difahamkan, pasangan ini sah bercerai talak satu dan pengesahan tersebut dibuat secara ekspres di Mahkamah Syariah, Shah Alam pada 28 Oktober tahun lalu. 


 


Namun pada Januari lalu, Kaka dan Adam dikatakan sudah kembali rujuk sebagai suami isteri.