Kakak baju merah nekad teruskan saman terhadap Adam Autism Family

16 Nov 2026 • 6:01 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kakak baju merah nekad teruskan saman terhadap Adam Autism Family

PETALING JAYA – Wanita yang menjadi perhatian ramai susulan kontroversi membabitkan Adam Autism Family di sebuah restoran baru-baru ini nekad meneruskan tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa membuat tuduhan melulu terhadapnya.

Wanita berkenaan, Farah Fatini berkata, dia akan meneruskan tindakan dengan mengeluarkan surat tuntutan (LOD) terhadap pihak terlibat termasuk pengguna media sosial dan golongan artis yang didakwa membuat tuduhan tanpa mengetahui perkara sebenar.

Menerusi hantaran di Facebook, Farah mengakui sedih apabila menerima kecaman, termasuk daripada individu yang selama ini diikutinya di media sosial.

“Alhamdulillah, saya masih okey. Kerosakan sudah berlaku dan saya akan teruskan dengan LOD kepada pihak di sana termasuk semua netizen dan artis-artis kita yang menuduh melulu tanpa menyiasat hal sebenar.

“Sedih apabila ramai yang saya ikuti mengecam saya semula. Namun, perkara sudah berlaku dan kita tidak boleh mengubah apa-apa,” katanya.

Menurut Farah, keputusan untuk meneruskan tindakan undang-undang itu dibuat selepas merasakan reputasinya tercemar akibat dakwaan yang tersebar berhubung kejadian tersebut.

“Saya tidak mahu membesarkan perkara ini tetapi apabila difitnah, ia turut mencemarkan reputasi saya. Maaf semua, jangan kata saya tiada empati kerana mahu mengambil tindakan saman. Kerosakan sudah berlaku,” ujarnya.

Sehubungan itu, dia menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan bagi menentukan perkara sebenar.

Dalam masa sama, Farah berkata, dia bukan seorang pempengaruh mahupun artis, sebaliknya hanya orang awam yang tidak begitu aktif di media sosial.

Farah turut mengakui menerima mesej daripada anak lelaki berkenaan yang mahu berbincang mengenai insiden itu, namun buat masa ini dia tetap dengan keputusannya.

Terdahulu, bapa kepada Adam, Iman Wan Tuck Meng, 60, menularkan sebuah video dengan mendakwa mereka sekeluarga dihalau dari restoran tersebut oleh Farah terbabit sekali gus mengundang kecaman orang ramai terhadap Fara wanita itu.

Farah kemudiannya tampil memberikan penjelasan mengenai kejadian sebenar selain memaklumkan telah membuat laporan polis bagi mempertahankan dirinya daripada dakwaan yang tular.

Menurut penjelasan terdahulunya, restoran telah ditempah sepenuhnya oleh syarikatnya bagi menganjurkan majlis tertutup sempena sambutan Deepavali membabitkan 53 tetamu.

Majlis itu dijadual berlangsung dari pukul 7 hingga 10 malam, manakala keseluruhan ruang restoran telah ditutup bermula pukul 6 petang bagi tujuan persiapan.

Farah turut menafikan dakwaan bahawa dia menghalau keluarga Adam atau mengarahkan mereka makan di bawah tangga, sebaliknya mendakwa telah memberikan penjelasan mengenai tempahan restoran tersebut.

Sementara itu, bapa Adam dalam satu video dimuat naik semalam, tampil mempertahankan dakwaannya mengenai kejadian berkenaan, namun menegaskan dia tidak pernah berniat mengaibkan atau menggalakkan orang ramai menyerang wanita terbabit.

Menurutnya, video berkenaan dikongsikan semata-mata untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai cabaran dihadapi keluarga yang menjaga individu autistik, selain menggalakkan sikap lebih empati.

“Saya tidak berkongsi video itu untuk memalukan sesiapa atau menggalakkan orang ramai menyerang mana-mana pihak.

“Niat saya hanyalah untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan sedikit rasa empati. Saya juga fikir penting untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku pada malam itu,” katanya.

Mengulas kejadian tersebut, dia berkata, pihak restoran pada awalnya memaklumkan premis berkenaan telah ditempah untuk majlis tertutup, namun seorang pelayan membenarkan keluarganya duduk di luar bagi mendapatkan makanan buat Adam.

“Saya mahu jelaskan bahawa saya mengakui sepenuhnya wanita itu telah menempah restoran berkenaan dan saya menghormati haknya untuk berbuat demikian.

“Tetapi ketika itu, saya dapat melihat Adam semakin gelisah. Saya tahu apa yang mungkin berlaku sekiranya kami gagal mengawal keadaan, jadi saya membuat keputusan untuk mendudukkan Adam di meja bawah tangga,” jelasnya.

Katanya, kejadian itu berlaku sekitar pukul 6.35 petang ketika restoran masih kosong dan anaknya selesai makan kira-kira tujuh minit kemudian, iaitu pada pukul 6.42 petang.

“Saya telah dimaklumkan bahawa laporan polis mungkin dibuat dan penjelasan saya mengenai kejadian itu turut dipertikaikan.

“Saya belum mengesahkan kandungan mana-mana laporan, jadi saya tidak mahu membuat spekulasi. Namun, satu perkara yang ingin saya tegaskan, saya tetap mempertahankan penjelasan saya mengenai apa yang berlaku pada malam tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Iman mengakui ada pihak mungkin tidak bersetuju dengan keputusannya untuk membenarkan Adam makan di kawasan berkenaan walaupun telah dimaklumkan ia termasuk dalam tempahan majlis tertutup.

Bagaimanapun, beliau berharap orang ramai memahami situasi yang dihadapinya bersama isteri selepas lebih 25 tahun menjaga Adam yang mengalami autistik dan tidak boleh bertutur.

“Kami tidak mengharapkan dunia berputar mengikut kehendak Adam. Kami juga tidak mengharapkan peraturan diubah semata-mata untuk kami.

“Tetapi kadangkala, kami berharap orang ramai dapat memberikan sedikit ruang untuk memahami keadaan kami, terutama apabila situasi yang dihadapi tidak sama seperti kebanyakan keluarga lain,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut meminta orang ramai menghentikan kecaman terhadap Farah kerana tidak mahu perselisihan faham itu menjadi punca wanita berkenaan terus diserang.

“Tolong jangan serang atau ganggu wanita terbabit. Saya tidak mengenalinya secara peribadi dan saya juga tidak tahu keadaan yang mungkin dihadapinya pada malam tersebut.

“Satu perselisihan faham tidak sepatutnya menentukan keseluruhan peribadi seseorang. Jika saya meminta dunia menunjukkan empati terhadap Adam dan keluarga seperti kami, saya juga perlu menunjukkan empati yang sama kepada orang lain, termasuk mereka yang tidak bersetuju dengan saya,” katanya.– KOSMO! ONLINE

The post Kakak baju merah nekad teruskan saman terhadap Adam Autism Family appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved