
PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Cik Man atau Kamarool Haji Yusoff, 67, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tanah Merah, Kelantan, kira-kira pukul 5 petang tadi.
Berita pemergian Allahyarham disahkan anak keduanya, Fakhrol Aliff, yang memaklumkan bapanya menghembuskan nafas terakhir selepas mengalami masalah jantung tersumbat.
“Saya baru balik dari hospital untuk mandi di rumah. Lepas itu kakak telefon dan minta saya datang semula ke hospital sebab abah sudah tiada.
“Rasanya abah meninggal dunia kira-kira pukul 5 petang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Mengulas lanjut, Fakhrol berkata, Allahyarham tidak mengalami penyakit serius sejak serangan jantung yang dialami dua tahun lalu, namun mengadu sakit perut dan belakang sejak beberapa hari ini.
“Abah sebelum ini tak sakit teruk. Kali terakhir dia kena serangan jantung dua tahun lepas. Selepas itu, pemeriksaan jantung semuanya baik, cuma dia selalu mengalami simptom seperti gastrik.
“Semalam keadaan dia semakin teruk. Dia mengadu sakit perut dan sakit belakang, macam masuk angin. Bila kami ajak ke hospital, dia tak mahu. Semalam baru dia sudah tak tahan sangat,” katanya.
Menurutnya, jenazah Allahyarham akan dikebumikan pada pukul 11 pagi esok di kampung halamannya di Tanah Merah, Kelantan.
Sebelum ini, Cik Man pernah berkongsi bahawa beliau berulang-alik dari kediamannya di Kelantan ke Kuala Lumpur sekiranya mempunyai komitmen penggambaran.
Allahyarham dikenali sebagai antara pelawak popular era 1980-an dan kembali mendapat perhatian generasi baharu menerusi watak Cik Man dalam filem Rock Oo arahan Allahyarham Mamat Khalid. -UTUSAN
The post Kakak telefon cakap ayah sudah tiada – Anak Cik Man appeared first on Utusan Malaysia.






