Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) mengesahkan seorang kakitangannya, Masedeh bin Rosmin, yang sebelum ini dilaporkan hilang akibat dihanyutkan arus deras ketika bertugas di lapangan, telah ditemui meninggal dunia.
Dalam kenyataan rasmi, pihak syarikat menzahirkan rasa dukacita serta merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. SESB turut memberi jaminan bahawa sokongan sewajarnya termasuk bantuan kebajikan dan sokongan emosi akan disalurkan kepada keluarga mangsa.
“Pihak syarikat amat berdukacita dengan kehilangan ini dan ingin merakamkan ucapan takziah serta simpati yang mendalam kepada ahli keluarga Allahyarham,” menurut kenyataan itu.
SESB juga menyampaikan penghargaan kepada semua pihak berkuasa serta pasukan penyelamat yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat, termasuk Team Gleen Star, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, serta rakan-rakan sekerja yang tidak mengenal penat lelah dalam usaha pencarian.
“Kehilangan Allahyarham amat dirasai oleh seluruh warga Sabah Electricity. Beliau dikenang sebagai seorang kakitangan yang berdedikasi tinggi dalam melaksanakan tugas. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” jelas kenyataan itu lagi.
Baca juga:
SESB turut berharap masyarakat memberi ruang privasi serta menghormati sensitiviti ahli keluarga Allahyarham dalam menghadapi detik sukar ini.
Dalam satu hantaran di Facebook, salah seorang ahli keluarga Allahyarham turut mengesahkan berita duka berkenaan.
Sumber: Sabah Electricity
The post Kakitangan SESB dihanyut arus deras, ditemui meninggal dunia appeared first on The Reporter.




