Kalah Konsert Billie Eilish! Dewa 19 Buat Gila, Trending 3 Hari Di Malaysia

Music
12 Sep 2022 • 8:22 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Andra Ramadhan dan Ahmad Dhani ketika konsert ulang tahun Dewa 19 di Kuala Lumpur baru-baru ini - Gambar oleh Alif Omar

Band terkenal Indonesia, Dewa 19 menempuh sebuah perjalanan panjang sejak ia mula ditubuhkan 30 tahun lalu. Bagi meraikan detik bersejarah itu, konsert ulang tahun penubuhan band mereka diadakan dua hari berturut-turut sebagai menghargai sokongan peminatnya di Malaysia selama ini.

Tiket konsert laku manis untuk kedua-dua hari. Seperti dijangkakan, Dewa 19 berjaya memukau 9,000 pengunjung yang hadir dengan 35 buah lagu yang didendangkan sepanjang 3 jam konsert berlangsung.

Boleh dikatakan, Dewa 19 satu-satunya band di Indonesia yang popularitinya masih bertahan dan semakin berkembang walaupun vokalisnya bertukar ganti dari Ari Lasso, Once Mekel, Virzha dan Ello. 

image is not available
Ari Lasso

Kekuatan Dewa 19 bukanlah pada vokalis seperti kebanyakan band lain. Ia bertahan kerana lagu-lagunya yang berhantu hasil sentuhan ketua band itu, Ahmad Dhani yang membuatkan orang tidak peduli siapa pun vokalisnya.

Penonton dibawa menyusur garis masa. Dibuka dengan Virzha dan Ello menerusi lagu-lagu awal kumpulan itu seperti 'I Want To Break Free', 'Juliette' dan 'Tak Kan Ada Cinta Yang Lain'. 

image is not available
Ello dan Virzha

Diikuti Once dengan lagu-lagu yang membuat orang ramai nyanyi bersama seperti 'Roman Picisan', 'Dewi' dan 'Pupus'. Sehinggalah Ari Lasso kemudian muncul menyanyikan lagu hit seperti 'Kangen' dan 'Cinta Kan Membawamu Kembali'. 

Ahmad Dhani juga sempat menyita perhatian pengunjung ketika lampu utama dimatikan. Pengunjung membuka flashlight ketika dia menyanyikan lagu 'Hadapi Dengan Senyuman'. 

Sebuah lagu yang mengingatkannya dengan pengalaman dipenjara pada tahun 2019. Juga menjadi sebab Ahmad Dhani tidak dapat bersama-sama mengikuti konsert Dewa pada tahun yang sama.

image is not available
Ahmad Dhani

Dewa 19 secara tidak langsung menghimpunkan pelbagai lapis generasi dalam Axiata Arena, Bukit Jalil. Dari yang berumur 50 tahun sehinggalah mereka yang lahir pada tahun 2000 semuanya pernah mendengarkan lagu kumpulan itu. Magis itulah yang berjaya membuat kumpulan legenda itu diingati.

Selesai konsert, nama Dewa 19 menjadi tular selama tiga hari berturut-turut di media sosial. Walaupun ada yang memberi sumbang saran agar penganjur lebih berhati-hati menjaga isu teknikal dan memaparkan lirik di layar untuk dinyanyikan bersama, namun rata-rata sangat berpuas hati dengan persembahan yang diberikan Dewa 19. 

image is not available
Ahmad Dhani dan Once Mekel

Bukan itu sahaja, ada juga pengunjung yang membandingkan konsert Dewa 19 dengan sebuah konsert artis pemenang Anugerah Grammy yang diadakan bulan lalu.

“Gila, konsert Dewa 200 kali lagi seronok dari Billie Eilish,” tulis satu penonton di media sosial.

“Penganjur konsert boleh belajar dengan penganjur Dewa 19 macam mana nak set up konsert. Dari awal sampai akhir semua on point,” tulis komen yang lain.

Energy crowd konsert Dewa memang power. Ini yang kita mahukan,” kata satu komen yang lain. - Getaran, 12 September 2022

image is not available
Konsert istimewa ini turut menampilkan mantan pemain dram Dewa 19, Tyo Nugros