
KEHIDUPAN selebriti sering menjadi perhatian ramai. Bukan sahaja kejayaan dan sisi positif diraikan, malah setiap langkah juga tidak terlepas daripada kritikan segelintir pihak.
Bagi pelakon dan penyanyi, Fattah Amin, situasi tersebut dihadapi dengan tenang apabila dia memilih untuk menegur dan menasihati secara baik individu yang meninggalkan komen negatif terhadap dirinya serta isterinya, Amira Othman.
Menurut pemilik nama penuh Abdul Fattah Mohd Amin itu, lebih-lebih lagi ketika berada dalam bulan yang mulia, umat Islam seharusnya lebih berhati-hati dalam setiap tutur kata yang dilontarkan.
Dia berkongsi hal tersebut ketika ditemui pada Majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro 2026 yang berlangsung di Hotel Pavilion, Kuala Lumpur.
Ayah kepada Nur Aisya Fatima itu memberitahu, kata-kata negatif yang dilemparkan di media sosial kadangkala tetap memberi kesan kepada perasaan, memandangkan dirinya juga manusia biasa.
Pun begitu tuan punya badan berkenaan menganggap setiap kecaman yang ditulis oleh individu tertentu biarlah menjadi urusan mereka dengan Yang Maha Esa.
Menurutnya, jika masih ada pihak yang menggunakan akaun palsu semata-mata untuk menulis perkara tidak baik, perkara itu adalah pilihan mereka sendiri.

“Kalau masih ada yang menggunakan akaun palsu untuk menulis perkara negatif, itu terpulang kepada mereka.
"Itu antara mereka dengan Tuhan. Kita hanya boleh menasihatkan dengan baik,” katanya.
Tambah Fattah, setiap perbuatan manusia sebenarnya sentiasa diperhatikan dan tidak pernah terlepas daripada penilaian Tuhan.
“Setiap perkara yang kita lakukan sebenarnya diperhatikan. ALLAH Maha Melihat. Jadi kita perlu berhati-hati dengan apa yang kita katakan.
“Sebagai manusia biasa, kadang-kadang kita memang terasa dengan kata-kata orang. Tetapi apa yang boleh kita lakukan hanyalah bersabar,” ujarnya.
Tindakan undang-undang
Mengulas sama ada isteri syurganya, Amira pernah meluahkan perasaan selepas menerima kecaman daripada netizen, dia mengakui sebagai manusia biasa, hal tersebut sedikit sebanyak terkesan di hati.
Namun, Amira tidak pernah menunjukkan kesedihan secara berlebihan.
Sebagai suami, pelakon drama Poskad Cinta dari Istanbul itu sentiasa mengingatkan isterinya itu supaya terus bersabar dalam menghadapi situasi sedemikian.
“Saya selalu berpesan kepada Amira supaya bersabar. ALLAH menyukai hamba-NYA yang bersabar.
“Orang yang melakukan perkara tidak baik pasti ada balasannya suatu hari nanti,” katanya.

Tambahnya lagi, membalas keburukan dengan keburukan bukanlah jalan terbaik untuk menangani situasi tersebut.
“Kita sebagai manusia tidak perlu membalas perkara buruk dengan keburukan.
“Selagi kita melakukan perkara yang baik dan tidak membalas dengan perkara yang buruk, itu sudah memadai,” jelasnya.
Bagaimanapun, Fattah tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya kecaman yang diterima melampaui batas.
“Jika perkara itu melampaui batas, mungkin ada tindakan undang-undang yang boleh diambil,” katanya.
Terdahulu, pasangan tersebut tampil bersuara menangkis tindakan para pengkritik atau haters ketika sesi siaran langsung di media sosial baru-baru ini.


