‘Kalau anak tak muntah, mungkin kami dirempuh lori’

5 Oct 2026 • 9:15 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Kalau anak tak muntah, mungkin kami dirempuh lori’

SIK – “Lori itu rempuh betul-betul di tempat saya menghidang nasi untuk makan tengah hari. Kalau anak tak tiba-tiba mahu muntah, mungkin kami dua beranak pun kena rempuh.”

Demikian kata Nor Amirah Mohd Latif, 38, yang nyaris maut selepas rumahnya di Kampung Betong, Jeneri, di sini dirempuh sebuah lori kira-kira pukul 12.45 tengah hari tadi.

Dalam kejadian itu, lori membawa muatan dedak haiwan dipercayai mengundur ketika berada di jalan yang agak berbukit sebelum merempuh rumah berkenaan.

Nor Amirah berkata, ketika kejadian dia bersama anak bongsunya, Afiyah Haura Herman, 5, berada di ruang dapur untuk makan tengah hari, manakala suaminya, Herman Abd Samad, 43, berada di ruang hadapan rumah.

“Sebelum kejadian, anak saya yang demam tiba-tiba mahu muntah sebelum dia berlari ke pintu belakang berhampiran dapur.

“Saya yang baru selesai menghidang makanan terus menghampirinya sebelum tiba-tiba berlaku gegaran seperti gempa bumi,” katanya di sini hari ini.

Katanya, dia terkejut apabila melihat sebuah lori sudah memasuki ruang dapur rumahnya.

“Saya nampak lori itu sudah masuk ke dalam dapur dan dinding rumah turut rosak akibat rempuhan. Meja makan yang baru sahaja saya letakkan nasi dan lauk turut dihempap dinding, sedangkan jaraknya hanya kira-kira tiga langkah dari tempat saya berada,” ujarnya.

Menurutnya, tindakan anaknya berlari ke pintu belakang kerana mahu muntah menyebabkan mereka terselamat daripada rempuhan berkenaan.- KOSMO! ONLINE

The post ‘Kalau anak tak muntah, mungkin kami dirempuh lori’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved