Nahas Berantai: 4 Maut Perodua Viva Rempuh Lori

LocalCars
27 Sep 2026 • 12:46 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Nahas Berantai: 4 Maut Perodua Viva Rempuh Lori

KOTA KINABALU - Empat individu maut selepas Perodua Viva yang dinaiki merempuh sebuah lori yang diletakkan di tepi jalan di Jalan Sepanggar berhampiran Taman Jaya Diri, Sepanggar, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 pagi itu, rempuhan berkenaan menyebabkan lori terbabit tertolak ke hadapan sebelum melanggar tiga kenderaan lain yang turut diletakkan berhampiran.

Tiga mangsa dikenal pasti sebagai Ryanniel Robin, 23; Nicholas Thomas, 24; dan Axelord Nigel Alexander, 21 manakala identiti mangsa keempat masih belum dikenal pasti.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Hannis Moktar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.37 pagi.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati keempat-empat mangsa terperangkap di dalam Perodua Viva berkenaan.

“Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan.

“Mayat semua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Hannis berkata, keempat-empat mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat mereka dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, operasi tamat pada jam 3.55 pagi selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi berada dalam keadaan selamat.

Polis trafik turut berada di lokasi bagi menjalankan siasatan berhubung punca kemalangan, manakala anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu turut membantu operasi. - Getaran, 27 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved