
SEPANG – Seorang lelaki maut selepas kereta Toyota Vios dinaikinya merempuh bahagian belakang sebuah lori treler di Kilometer 27.3 Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), Cyberjaya, di sini awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 1.38 pagi.
“Komander operasi melaporkan kemalangan membabitkan dua buah kenderaan iaitu sebuah Toyota Vios yang melanggar bahagian belakang sebuah lori treler.
“Terdapat seorang mangsa lelaki tersepit di dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi dijalankan dengan kekuatan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dengkil bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki maut kereta rempuh belakang treler appeared first on Kosmo Online.






