“Kalau artis baru buat tak ada masalah”, Ifa Raziah jawab kritikan ‘Gedik Raya’

EntertainmentLifestyle
11 Mar 2026 • 10:29 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KUALA LUMPUR – Penyanyi veteran, Ifa Raziah tampil menjelaskan kontroversi yang tercetus susulan pelancaran lagu raya terbaharunya berjudul Gedik Raya yang menerima pelbagai reaksi daripada warganet di media sosial.

Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha berkata, lagu tersebut merupakan tanda kemunculannya semula dalam industri muzik selepas hampir lima tahun berehat daripada menghasilkan karya baharu.

Menurutnya, Gedik Raya juga menjadi permulaan kepada perancangannya untuk kembali aktif menghasilkan lagu sepanjang tahun ini, termasuk projek lagu solo dan duet.

“Lagu Gedik Raya ini menjadi permulaan untuk saya kembali berkarya selepas hampir lima tahun berehat. Tahun ini saya merancang untuk mengeluarkan beberapa lagu secara berturut-turut, bukan sahaja lagu raya tetapi juga lagu lain,” katanya.

Tambahnya, tajuk lagu tersebut juga merupakan cadangannya sendiri kepada komposer Amy UK’s kerana mahu menghasilkan lagu raya yang lebih santai dan menghiburkan.

Mengulas mengenai kecaman yang diterima, Ifa berpendapat kritikan tersebut bukan semata-mata kerana lagu atau muzik video, sebaliknya disebabkan persepsi segelintir pihak terhadap dirinya sebagai artis lama yang membawa konsep lagu lebih moden.

Menurutnya, ramai yang kurang senang melihat penyanyi seusianya membawakan lagu dengan gaya generasi muda.

“Kalau artis baharu yang buat mungkin tiada masalah. Mereka boleh buat apa sahaja gaya tarian atau persembahan dan orang terima.

“Tetapi sebab saya artis generasi lama, apa sahaja yang saya buat nampak salah kerana mereka anggap saya sudah berusia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ifa turut menafikan dakwaan bahawa muzik video lagu tersebut menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Sebaliknya jelasnya, visual yang dipaparkan menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI) bersama penggunaan green screen bagi menggambarkan konsep ‘beraya di kayangan’.

Ifa berkata, kos penerbitan muzik video tersebut juga menelan belanja yang besar sehingga mencecah lima angka dan ditanggung sepenuhnya oleh Sony Music.

Menurutnya, konsep beraya di kayangan dipilih bagi memberikan kelainan berbanding kebanyakan lagu raya lain yang lazimnya memaparkan suasana kampung.

Walaupun berdepan kecaman, Ifa menganggap reaksi tersebut sebagai lumrah dalam industri hiburan dan berharap lagu berkenaan dapat terus mendapat perhatian pendengar serta memeriahkan lagi sambutan lagu raya tempatan. – MYBERITA