
PELAKON popular, Fattah Amin berkongsi rasa bangga apabila mendengar sendiri suara anak perempuannya, Nur Fatima Aisya menyanyi dalam sebuah lagu raya yang kini mencuri perhatian ramai.
Fattah mengakui tidak menyangka anak perempuannya itu memiliki bakat nyanyian sehingga mampu merakamkan lagu duet berjudul Raya Pum Pang Lagi bersama ibunya yang juga aktres terkenal, Nur Fazura.
Pemilik nama penuh Abdul Fattah Mohd Amin itu berkongsi hal tersebut ketika ditemui SinarPlus pada Majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro 2026 yang berlangsung di Hotel Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kongsi Fattah, kecomelan nyanyian anaknya itu membuatkan dia tersenyum setiap kali mendengarnya.
“Memang comellah. Saya memang tak sangka anak saya boleh rakam sebuah lagu duet dengan mommy (Fazura). Cutelah.
“Saya tengok ramai juga yang suka. Alhamdulillah, tak sangka dia ada bakat menyanyi,” katanya.
Dalam pada itu, Fattah tidak menafikan puteri kesayangannya itu sebenarnya sudah menunjukkan minat terhadap nyanyian sejak kecil, walaupun kebiasaannya hanya menyanyikan lagu kanak-kanak.

Menurutnya, ada kalanya dia terdengar anaknya itu menyanyi secara perlahan ketika berada di rumah atau semasa mereka berada di dalam kereta.
“Dia memang kadang-kadang suka menyanyi lagu kanak-kanak. Lagu-lagu macam itu ada saya dengar dia miming dalam kereta.
“Memang nampak dia suka menyanyi tapi saya pun tak sangka sampai rakam lagu. Tpai bila dengar oklah, budak-budak kan,” jelasnya.
Bagi Fattah, apa yang lebih penting adalah kebahagiaan anaknya. Dia sentiasa menyokong apa sahaja minat Fatima selagi ia memberi kegembiraan kepada kanak-kanak itu.
“Asalkan Fatima gembira, saya okay saja. Sebagai ayah sudah tentu saya pun tumpang gembira,” ujarnya.
Lagu Raya Pum Pang Lagi merupakan versi baharu kepada lagu raya yang pernah dipopularkan oleh Nur Fazura bersama Syasya Rizal yang dilancarkan pada tahun lalu.

Versi terbaharu berkenaan menampilkan Fatima sebagai penyanyi cilik yang menyerikan lagi lagu tersebut dengan gaya nyanyian yang comel dan ceria.
Terdahulu, Fattah Amin pernah mendirikan rumah tangga dengan Nur Fazura pada 27 November 2017 sebelum pasangan tersebut bercerai pada 7 Oktober 2024.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia enam tahun.
Walaupun tidak lagi bergelar suami isteri, kedua-duanya tetap memberi sokongan terhadap perkembangan anak mereka, termasuklah apabila Fatima mula menunjukkan minat dalam bidang seni.



