
KLUANG – “Kalau boleh, saya nak ganti nyawa saya dengan mereka.”
Itu luahan pilu seorang suami yang masih dihantui rasa terkilan kerana gagal menyelamatkan isteri dan dua anaknya yang terperangkap dalam kebakaran rumah mereka di Jalan Satria 7/5, Taman Titiwangsa di sini, malam tadi.
Lebih meruntun hati, Khairul Nizam Wahid, 50, berkata, dalam kejadian 10.30 malam itu, anak keduanya, Khairul Nurhaziqq, 18, ditemukan dalam keadaan memeluk adiknya, Khairul Nurhadiff, 11, di dalam bilik bahagian atas rumah dua tingkat.
Manakala isterinya, Noraini Ibrahim, 49, pula ditemui berada di sisi kedua-dua anak mereka selepas api berjaya dipadamkan.
Tidak dapat menyembunyikan kesedihan, Khairul berkata, dia tidak menyangka kepulangannya ke rumah selepas keluar makan bersama rakannya kira-kira pukul 9.30 malam akan menjadi detik terakhir melihat isteri dan anak-anaknya.
Menurutnya, dia pada awalnya tidak menyedari rumah mereka sedang terbakar sebelum ternampak api marak dari bahagian sofa sebaik membuka pintu rumah.
“Sampai rumah, saya tak perasan lagi rumah dah terbakar. Saya nak buang air, buka pintu dan nampak dekat sofa terbakar, api dah menyala. Saya tarik sofa itu, api dah marak.
“Saya terus pergi ke dapur dan buka pintu, tetapi saya patah balik sebab asap terlalu tebal. Tak boleh sedut asap dan memang tak boleh masuk lagi,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini hari ini.
Katanya, ketika kejadian dia turut menerima panggilan daripada isterinya yang selepas mendengar bunyi motosikalnya tiba di rumah dan bunyi bising pada bahagian tingkat bawah rumah dua tingkat itu.
“Dia telefon saya dan tanya kenapa, saya cakap rumah terbakar. Lepas itu dia terus diam,”katanya.
Menurutnya, dia kemudian menjerit meminta pertolongan sebelum jiran dan orang ramai keluar untuk membantu, namun usaha menyelamatkan isteri dan dua anaknya tidak berjaya.
“Siapa yang tak terkilan bila anak dan isteri macam itu. Kalau boleh saya nak ganti nyawa saya. Nak panjat pun tangga tak ada,” katanya.
Khairul yang baharu sebulan bersara sebagai tukang masak di Kem Mahkota berkata, isterinya merupakan insan yang sangat rapat dengannya dan mereka jarang berpisah dalam tempoh lama kerana banyak menghabiskan masa bersama.
“Memang rapat, ya Allah. Kita tak pernah berpisah. Kalau berpisah pun sebab dia hantar anak main boling, lepas itu balik. Itu saja, tak ada nak berpisah lama-lama.
“Kali ini mereka pergi sama-sama. Ya Allah minta-minta mereka syahid,”katanya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Kalau boleh nak ganti dengan nyawa saya’ appeared first on Kosmo Online.





