
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam dan pegawai Jabatan Penjara tiba di kediaman Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, di sini, hari ini.
Difahamkan ia berkenaan mesyuarat yang diadakan petang ini membabitkan pihak polis dan pegawai Jabatan Penjara bagi membincangkan prosedur dan aspek keselamatan berkaitan pelaksanaan tahanan rumah.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa kenderaan rasmi kerajaan mula memasuki pekarangan kediaman bekas Perdana Menteri itu sejak kira-kira pukul 2 petang tadi.
Kereta membawa Anuar Bakri tiba di pada pukul 2.20 petang manakala pegawai Jabatan Penjara dilihat memasuki pekarangan rumah pada kira-kira pukul 3.15 petang.
Sehingga pukul 3.30 petang, mesyuarat berkenaan masih berlangsung dan kelibat pegawai terbabit masih berada di dalam kediaman berkenaan.
Sementara itu, Anuar Bakri ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan kehadiran beliau di kediaman Najib di Langgak Duta di sini.
Terdahulu, media melaporkan bayaran denda sebanyak RM50 juta yang membabitkan Najib sebelum beliau dibenarkan menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah secara bersyarat, masih belum dilunaskan.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan, bayaran perlu dilangsaikan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana kes bermula dan dibicarakan di sana.
“Setakat ini, keluarga Datuk Seri Najib belum membayar denda. Selepas pembayaran dibuat, saya tidak boleh jangka secara tepat bila Datuk Seri Najib akan dibawa pulang ke rumah, mungkin ambil sedikit masa,” katanya.
Tambah beliau, prosedur operasi standard (SOP) tahanan rumah ke atas Najib akan diperincikan Jabatan Penjara,” katanya.- UTUSAN
The post KPD Sentul, pegawai penjara mesyuarat di rumah Najib? appeared first on Utusan Malaysia.






