Kalau mahu beri watak seram, jangan sekadar menjerit – Nabila Huda

EntertainmentMovie
3 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kalau mahu beri watak seram, jangan sekadar menjerit – Nabila Huda

SELAIN Maya Karin dalam Pontianak Harum Sundal Malam, pelakon, Nabila Huda turut diingati membawakan karakter ikonik, Maria dalam adegan ‘melekat’ di dinding dalam filem Munafik arahan Syamsul Yusof. Filem tersebut bukan sahaja berjaya dinobatkan sebagai Filem Terbaik Nasional ke-28 malah Nabila yang mesra disapa Abil berjaya membawa pulang trofi Pelakon Wanita Terbaik dalam anugerah yang sama. 

Kini, selepas sedekad, filem tersebut dibikin semula oleh Guntur Soeharjanto, sutradara yang mengarahkan naskhah seperti Cahaya Di Langit Eropah, Norma: Antara Mertua dan Menantu serta Ayat-ayat Cinta 2. Horror menjadi genre popular di negara seberang, malah kita semua merasai impak beberapa filem seram mereka di Malaysia. 

Ketika filem Munafik terpilih untuk dibikin semula, ia sekali gus menunjukkan potensi besar yang ada pada asal Malaysia yang dilihat boleh mencipta gelombang di negara itu.

“Munafik ada jalan cerita yang sangat kuat. Bayangkan Indonesia sudah ada banyak cerita seram, jadi apabila Munafik dipilih untuk dibuat semula, bagi saya ia satu penghormatan besar.

“Kalau dilihat, Munafik bukan semata cerita hantu ia juga mempunyai elemen agama, kehilangan, trauma, kepercayaan dan konflik manusia. Seram cuma satu lapisan sahaja membuatkan ia mudah diterima ke negara lain. Apabila Munafik masuk ke Indonesia saya tidak lihat ia sebagai pertandingan tetapi kolaborasi.

“Kita serumpun tetapi masing-masing ada cara dalam menyampaikan cerita dengan identiti sendiri. Bila karya kita boleh diinterpretasikan semula oleh pembikin Indonesia, itu sebenarnya membuka ruang yang lebih besar untuk industri kita di kedua-dua negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menjadi satu-satunya pelakon asal yang diundang ke Indonesia semasa tayangan filem itu minggu lalu, anak kepada penyanyi Amy Search ini terharu melihat secara langsung reaksi penonton sekali gus memberikan perasaan ‘dejavu’ penerbitan filem itu 10 tahun lalu.

Image from: Kalau mahu beri watak seram, jangan sekadar menjerit – Nabila Huda

“Seronok sebenarnya berada dalam panggung itu melihat reaksi penonton Indonesia yang terkejut pada momen tertentu. Ada perasaan yang sukar dijelaskan saya pula macam ‘Oh Tuhan, teringat adegan ini’.

“Apapun, sangat terharu sebab selepas 10 tahun cerita yang sama masih boleh dapat  reaksi daripada penonton yang baru, dalam versi dan bahasa yang berbeza. Maknanya cerita Munafik itu sendiri masih hidup,” katanya.

Melihat karakter Maria dihidupkan pelakon, Acha Septriasa menerusi watak Fitri dalam versi Indonesia, Abil bangga kerana pelakon itu berjaya menjayakan karakter itu dengan cara sendiri. 

“Semestinya ‘DNA’ Maria ada di situ tapi saya tidak mahu bandingkan persembahan saya dan Acha. Saya bawakan Maria dengan interpretasi dan Acha juga membawakan Fitri dengan gayanya dan jiwa sendiri.

“Saya bangga melihat karakter yang pernah saya hidupkan dulu, sekarang diberi kehidupan baru oleh seorang lagi pelakon hebat. Bagi saya, itulah keindahan dunia lakonan apabila dua karakter boleh hidup dalam tubuh pelakon berbeza.

“Cuma saya belum sempat  duduk dan berbual dengan Acha sekadar berinteraksi di media sosial. Tapi saya baca babak paling mencabar buatnya ialah kerasukan dan ruqyah, saya terus fikir ‘welcome to the club, Acha’ sebab itu memang adegan mencabar,” katanya. 

Semakin jarang berlakon dalam naskhah seram, tegas Abil, dia masih menerima sebarang tawaran yang bersesuaian memandangkan dia sangat memilih bagaimana watak yang ada dalam sesuatu skrip.

“Bila orang tengok babak kena rasuk, sebenarnya sukar sebab satu badan bekerja, pernafasan, suaran, mata semuanya sangat tegang. Kita kena buat berkali-kali dalam syot berbeza. Habis sahaja memang badan akan hilang tenaga, penat.

“Saya rindu berlakon cerita seram. Saya suka genre horor sebagai pelakon sebab kita gali tentang trauma, kehilangan dan semua emosi ekstrem. 

“Tapi kalau mahu bagi saya watak seram, jangan bagi sekadar kena rasuk dan menjerit sepanjang cerita. Saya sudah pernah buat. Bagi saya sesuatu yang baru.

“Kalau ada watak horor pelik, sukar, mengganggu psikologi sila hubungi saya,” katanya.

The post Kalau mahu beri watak seram, jangan sekadar menjerit – Nabila Huda appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved