'Kalau perlu tunggu lagi 2 minggu, saya akur...' – 6 tahun berjuang, Syed Saddiq tenang walau keputusan kes ditangguh lagi

LocalPolitics
30 Jun 2026 • 11:43 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Kalau perlu tunggu lagi 2 minggu, saya akur...' – 6 tahun berjuang, Syed Saddiq tenang walau keputusan kes ditangguh lagi

MENANTI penghujung sebuah perjuangan yang panjang pastinya menuntut kesabaran yang bukan sedikit, apatah lagi apabila ia melibatkan nama baik dan maruah diri.

Bagi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, beliau terpaksa melaluinya sekali lagi apabila keputusan rayuan kesnya ditangguhkan saat-saat akhir.

Namun, anak muda ini memilih untuk kekal tenang dan berlapang dada menerima ketentuan tersebut demi menghormati institusi kehakiman negara.

Penangguhan saat-saat akhir itu diumumkan oleh Mahkamah Persekutuan selepas salah seorang anggota panel hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, dilaporkan terpaksa bercuti sakit selama dua hari.

Berikutan situasi yang tidak diduga itu, panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais menetapkan tarikh baharu pada 13 Julai depan untuk menyampaikan keputusan penuh.

Bagi Syed Saddiq dan pasukan peguamnya, situasi ini sememangnya di luar perancangan asal mereka.

Beliau mengakui sebelum melangkah ke mahkamah, pelbagai senario dan kemungkinan telah dibincangkan bersama barisan peguam, namun faktor kesihatan hakim langsung tidak berada dalam jangkaan sesiapa.

Image from: 'Kalau perlu tunggu lagi 2 minggu, saya akur...' – 6 tahun berjuang, Syed Saddiq tenang walau keputusan kes ditangguh lagi

Sungguhpun begitu, beliau sangat memahami bahawa soal kesihatan adalah perkara luar kawalan dan wajar dihormati oleh semua pihak.

"Ini bukan perkara yang kita jangkakan. Bila berbincang dan berunding dengan para peguam pun, ada banyak senario yang kita jangkakan, tetapi perkara ini tidak ada dalam perbincangan dan perancangan kami.

"Namun, apabila ia membabitkan isu kesihatan yang kadangkala berada di luar kawalan, saya secara peribadi akur dan perlu menghormatinya, khususnya apabila membabitkan institusi kehakiman yang saya junjung tinggi,” katanya ketika ditemui media di pekarangan Istana Kehakiman.

Melalui fasa turun naik dalam mahkamah selama hampir enam tahun bukanlah satu perjalanan yang mudah untuk dilalui oleh sesiapa sahaja.

Bagi Syed Saddiq, tempoh dua minggu lagi untuk menunggu tarikh baharu itu ibarat satu lagi ujian kecil dalam perjuangan besarnya selama ini untuk membuktikan integriti diri.

Tunangan Bella Astilah itu bagaimanapun reda untuk terus patuh pada proses perundangan yang sedang berjalan.

Image from: 'Kalau perlu tunggu lagi 2 minggu, saya akur...' – 6 tahun berjuang, Syed Saddiq tenang walau keputusan kes ditangguh lagi

"Kisah ini bukanlah kisah yang baharu. Sudah enam tahun saya berjuang untuk mendapatkan keadilan, membersihkan nama, integriti dan maruah saya.

"Kalau perlu menunggu lagi dua minggu, saya akur dan patuh," jelasnya dengan nada yang optimis.

Sisi matang pemimpin muda ini juga terserlah apabila beliau menyuarakan rasa hormatnya yang mendalam terhadap sistem perundangan tanah air.

Baginya, mahkamah adalah satu-satunya tempat untuk mana-mana individu mendapatkan hak mereka secara telus, berdasarkan bukti yang sahih dan bukannya atas dasar status atau pengaruh politik.

"Saya hormat institusi kehakiman negara yang merupakan benteng terakhir bagi individu seperti saya yang ingin mendapatkan keadilan bukan melalui jalan pintas ataupun layanan istimewa.

"Sebaliknya melalui perbicaraan yang berdasarkan fakta dan data di bawah institusi kehakiman itu sendiri," katanya lagi.

Memandangkan namanya sentiasa menjadi perhatian dalam landskap politik tanah air, tumpuan pastinya terarah kepada penglibatan beliau dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang sedang hangat diperkatakan.

Bagaimanapun, anak muda tersebut mempunyai keutamaan tersendiri.

Image from: 'Kalau perlu tunggu lagi 2 minggu, saya akur...' – 6 tahun berjuang, Syed Saddiq tenang walau keputusan kes ditangguh lagi

Ketika ini, urusan kempen dan politik terpaksa diletakkan ke tepi dahulu demi memberikan tumpuan penuh kepada kes rayuan yang sedang dihadapinya.

"Hari ini fokus saya adalah kepada usaha mendapatkan keadilan dan membersihkan nama saya terlebih dahulu," ulasnya ringkas, sekali gus memberi bayangan jelas tentang keutamaan hidupnya buat masa ini.

Sumber: Sinar harian

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved