'Saya akan sentiasa berada di belakangnya' - Bella harap Syed Saddiq tabah

LocalPolitics
30 Jun 2026 • 1:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Saya akan sentiasa berada di belakangnya' - Bella harap Syed Saddiq tabah
Bella ketika hadir di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Selasa bagi mengikuti prosiding keputusan rayuan pendakwaan terhadap Syed Saddiq.

PUTRAJAYA – Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah menzahirkan sokongan berterusan terhadap tunangnya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman susulan penangguhan keputusan rayuan pendakwaan di Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa.

Bella atau Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, berkata, beliau akan sentiasa berada di belakang Syed Saddiq dan berharap beliau kekal tabah menghadapi ujian yang dilalui ketika ini.

"Semoga dia tabah, insya-ALLAH, saya akan sentiasa berada di belakangnya," katanya ketika ditemui selepas prosiding mahkamah di sini pada Selasa.

Mengulas penangguhan keputusan itu, Bella berkata, beliau menghormati keputusan yang dibuat mahkamah meskipun tidak menjangkakan perkembangan berkenaan.

"Kita menghormati keputusan mahkamah, ada perkara yang kita tidak boleh jangkakan, apa pun kita doa yang terbaik," katanya.

Terdahulu, keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq yang dijadualkan diputuskan pada Selasa ditangguhkan ke 13 Julai.

Panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais memaklumkan keputusan itu tidak dapat disampaikan selepas seorang lagi anggota panel, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, bercuti sakit selama dua hari.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan 30 Jun untuk keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq bagi empat kes bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Keputusan tersebut akan menentukan sama ada bekas Menteri Belia dan Sukan itu kekal bebas atau kembali berdepan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved