PUTRAJAYA - "Saya hormat institusi kehakiman negara yang merupakan benteng terakhir bagi individu seperti saya yang ingin mendapatkan keadilan bukan melalui jalan pintas ataupun layanan istimewa, tetapi melalui perbicaraan yang berdasarkan fakta dan data di bawah institusi kehakiman itu sendiri."
Demikian tegas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas Mahkamah Persekutuan pada Selasa menangguhkan keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasannya susulan Hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali bercuti sakit selama dua hari.
Panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais menetapkan keputusan rayuan itu akan disampaikan pada 13 Julai.
Syed Saddiq berkata, beliau menghormati keputusan mahkamah dan akan terus akur dengan proses perundangan yang sedang berjalan.
"Saya faham perkara ini memang tidak dijangkakan, sebab itu agak sukar untuk saya memberikan apa-apa komen atau ulasan," katanya dalam sidang media di Istana Kehakiman di sini.
Menurut beliau, faktor kesihatan perlu dihormati, lebih-lebih lagi apabila membabitkan institusi kehakiman.
**media[3566614]**
Syed Saddiq berkata, sepanjang enam tahun berdepan kes berkenaan, fokus utamanya adalah untuk membersihkan nama, integriti dan maruah dirinya.
"Bagi diri saya secara peribadi, kes ini bukanlah kes yang baharu. Sudah enam tahun saya berentap untuk mendapatkan keadilan, untuk membersihkan nama saya, integriti saya dan maruah saya.
"Kalau perlu menunggu lagi dua minggu, saya akur dan patuh," katanya.
Mengulas mengenai penglibatannya dalam kempen Pilihan Raya Negeri Johor yang bakal berlangsung dalam tempoh terdekat, Syed Saddiq berkata, fokus utamanya ketika ini adalah mendapatkan keadilan di mahkamah.
"Hari ini, fokus saya adalah untuk membersihkan nama, integriti dan maruah saya. Saya berharap akan ada noktah kepada kes ini hari ini selepas enam tahun yang cukup mencabar.
"Jadi saya perlu menunggu lagi dua minggu dan akan memberi tumpuan bersama peguam serta keluarga bagi mendapatkan keadilan yang kami perjuangkan di mahkamah terlebih dahulu," katanya.
Beliau turut menegaskan keyakinannya terhadap kes berkenaan tidak pernah berubah sejak siasatan dimulakan.






