MELAKA - “Budak catur yang hari ini bukan setakat lawan DAP di ceramah sahaja, tetapi saya ada dua kes mahkamah melawan pemimpin DAP.
“Jadi kalau sampai mahkamah kita lawan, tetapi Sanusi (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) cakap kita budak catur, terpulanglah.”
Demikian kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, mengulas pandangan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berkenaan yang melabelnya sebagai ‘budak catur’ kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Akmal meluahkan kekesalan terhadap Menteri Besar Kedah itu yang memilih untuk menyerang pihak lain dalam ceramah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berbanding memberi tumpuan kepada pembangunan negeri dan negara.
“Ingat datang Melaka ceramah tentang cadangan untuk bangunkan Melaka lebih baik dari BN buat sekarang,tapi ceramah kutuk orang sahaja rupanya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau meminta Sanusi menasihati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis yang menyertai Pas agar tidak mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat.
Katanya, Muhamad Jailani tidak menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) atas alasan cuti sakit, namun dilihat hadir ke ceramah parti.
“Jumaat lalu, Speaker memaklumkan YB Rembia cuti sakit selama tiga bulan kerana kaki retak tetapi malam semalam boleh hadir ke ceramah Pas
“Yang tanggungjawab pada rakyat untuk hadir dan bahas dalam sidang dewan tak nak buat, tetapi ceramah Pas dia sanggup datang walaupun dalam cuti sakit,” katanya
Akmal berkata, Sidang DUN yang berlangsung hanya empat hari dalam tempoh empat bulan seharusnya dimanfaatkan sebaiknya oleh wakil rakyat bukan ‘ponteng’
“Mungkin ceramah Pas lebih penting dari tanggungjawab hakiki kepada rakyat. Tidak mengapalah,nanti masa PRN biar rakyat Melaka menilai siapa yang bekerja untuk rakyat siapa yang kaki ponteng auta rakyat.
“YAB Sanusi, nasihat saya orang Melayu perlu disatukan, bukan diperbodohkan dan dikutuk sana sini untuk pecahkan lagi orang Melayu,” katanya.
Pada Sabtu, Sanusi ketika hadir Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri Pas Melaka menyifatkan Akmal sebagai ‘budak catur’ kepada Presiden UMNO, yang dilihat kuat dan lantang bersuara namun tidak mempunyai kekuatan sendiri dalam menentukan hala tuju politik.
Pada program sama, Sanusi turut menyatakan keyakinan bahawa misi Pas menawan Melaka bukan sesuatu yang mustahil, malah optimis parti itu mampu memperoleh sekurang-kurangnya 15 kerusi dalam PRN Melaka.




![[VIDEO] Kematian Baby Syifaa: Keluarga tak puas hati hukuman ringan terhadap pengasuh](https://cdn.newswav.com/img/topic/local.jpeg)
