Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh memberi peringatan secara sinis kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhubung kenyataannya sebelum ini untuk melepaskan jawatan menteri dalam kabinet.
“Hai Nga Kor Ming. Kalau terlupa atau buat-buat lupa, saya ingatkan macam mana nak buat surat (letak jawatan).
“Ini orang kata, order lain sampai lain, Koming (Nga) yang sembang lebat, tapi Anthony Loke Siew Fook yang kena buat,” dipercayai merujuk kepada pengumuman Setiausaha Agung DAP itu untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.
Kenyataan itu dikeluarkan Akmal menerusi satu hantaran di Facebook beberapa jam selepas Loke membuat pengumuman tersebut.
Loke umum letak jawatan Menteri Pengangkutan selepas Najib dapat tahanan di rumah
Loke petang tadi menawarkan diri untuk meletak jawatan dalam kabinet sebagai sebagai tindak balas DAP terhadap keputusan tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Tambah Loke, beliau mengemukakan surat peletakan jawatan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
“Pendirian DAP diterjemahkan melalui peletakan jawatan saya sebagai Menteri Pengangkutan. Saya akan mengemukakan surat kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat,” kata Loke.
Namun menurutnya, menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri lain daripada DAP akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan.
Sebelum ini Nga mengumumkan akan meletak jawatan jika UMNO menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Najib dibebaskan.
Sebagai info, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Jumaat (18 Sept) telah memperkenan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah beliau sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, pengampunan tersebut tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta dan hendaklah mematuhi segala syarat-syarat yang ditetapkan.
Pengampunan ini diperkenan Sultan Ibrahim semasa berlangsungnya Mesyuarat Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 pada pagi ini.







