
KEPALA BATAS : Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited untuk terus memperkukuh pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui pelbagai pembaharuan yang memberi tumpuan kepada digitalisasi, prestasi, integriti, pembangunan bandar pintar dan keberhasilan di bawah agenda reformasi Kerajaan Madani.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, selaku lapisan kerajaan yang paling rapat dengan kehidupan harian rakyat, PBT boleh dianggap sebagai terjemahan daripada dasar yang dirangka di peringkat Persekutuan dan negeri melalui perkhidmatan di peringkat tempatan.
Justeru katanya, kecekapan PBT bukan sekadar persoalan pentadbiran, tetapi, turut menentukan persepsi rakyat terhadap peranan Kerajaan mensejahterakan kehidupan harian mereka.
Menurut beliau, antara langkah yang telah diambil bagi memperkukuh PBT ketika ini termasuk dengan mewujudkan Bandar Tanpa Kaunter sejak 2023 menerusi penggunaan platform pembayaran digital seperti PBTPay, iTegur atau PBTCare, ePBT dan OSC 3.0 Plus.
“Selain itu, KPKT turut memperkenalkan Bandar Pintar melalui Penggunaan teknologi melalui Smart Traffic Light, Smart Bin dan Integrated Command Centre, berasaskan piawaian MS ISO 37122:2019.
“Pembaharuan lain yang turut dilaksanakan ialah mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem digital kerajaan iaitu OSC 3.0 Plus Online, memantau prestasi PBT menerusi Sistem Lampu Isyarat PBT dan sebagainya,” katanya berucap pada Konvensyen PBT dan Sambutan Hari Persekitaran Sedunia (SHKPS) di sini, semalam.
Konvensyen dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu.
Pada konvensyen itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dari Selangor merangkul penarafan cemerlang bagi kategori Bandaraya untuk SPB-PBT 2026, manakala kategori Perbandaran pula diungguli oleh PBT dari Johor iaitu Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).
Sementara itu, kategori Daerah dimenangi Majlis Daerah Mersing (MDM), Johor manakala kategori Transformasi Tadbir Urus Terbaik milik Majlis Daerah Telupid dari Sabah.
Dalam perkembangan berkaitan, Kor Ming menyifatkan tema konvensyen iaitu ‘Sinergi Madani – PBT Lestari, Persekitaran Harmoni’ bertepatan dengan keperluan semasa kerana pembangunan bandar yang mampan, persekitaran yang sihat dan kesejahteraan komuniti memerlukan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, PBT, sektor swasta dan masyarakat.
“Sehubungan itu, sinergi yang kita bina ini mestilah diterjemahkan kepada tindakan dan hasil yang benar-benar dapat dirasai oleh rakyat,” katanya. – UTUSAN
The post KPKT komited perkukuh PBT melalui pelbagai pembaharuan appeared first on Utusan Malaysia.






