
AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Syed Abdul Rahman dan penyanyi Bella Astillah bakal disatukan beberapa hari lagi.
Kalau sudah jodoh, takkan ke mana. Siapa sangka, daripada dua cabang bidang berbeza, mereka akhirnya dipertemukan dalam satu momen ringkas di sebuah stesen radio.
Biarpun ketika itu tiada perasaan istimewa, pertemuan tersebut rupanya menjadi antara detik awal yang membawa mereka kepada fasa kehidupan baharu.
"Kali pertama berjumpa bersama-muka, saya ingat di luar konti radio. Saya ingat ketika itu sedang buat beberapa wawancara dengan stesen radio.
"Bila saya bergerak dari stesen radio A ke stesen radio B, saya ternampak Bella sedang duduk," ujar Saddiq.
"Saya tegur dia, awak bukan Bella? Saya masih ingat masa itu saya berjalan dengan sesiapa, di mana stesen radio itu, dia pakai baju warna hijau dan rambutnya macam mana.
"Bukan kerana obses tetapi saya memang mengingati momen itu yang membawa kepada kami sekarang ini.
"Kami tidak berbual panjang atau ingin saling mengenali. Saya tidak pernah melihatnya sebagai artis atau penyanyi tetapi saya memahami cerita di sebalik wanita itu.
"Saya tahu kisahnya memberikan inspirasi, itu tanggapan pertama saya," tuturnya.
Sementara itu, Bella pula mendedahkan mereka sempat berswafoto dan ketika itu Syed Saddiq sedang tergesa-gesa.

Katanya, ketika itu dia menghormati Saddiq sebagai seorang wakil rakyat dan langsung tidak menyangka pertemuan ringkas tersebut akhirnya membawa mereka ke jenjang pelamin.
"Dia datang dulu dan ketika itu saya sedang menggunakan telefon bimbit. Saya nampak dia datang. Dia kata "Bella, apa khabar, sihat?
"Pertemuan pertama tak ada rasa apa pun. Ketika itu saya berdiri, itu sahaja," kongsinya.
Dalam rancangan 'Walimatulurus Bella Astillah dan Syed Saddiq' yang disiarkan di Astro Ria, bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga berkongsi momen hubungan mereka bertambah rapat dan mula bermain badminton bersama.
"Selepas itu kami tidak bertemu lagi dalam tempoh yang lama sehingga ada common friends bersama dan kami bermain badminton bersama.
"Saya ingat ketika itu ada kawan dan keluarga Bella sekali. Dia minta saya tanda tangan buku untuk dikongsi kemudian. Kemudian saya dipanggil untuk muncul dalam muzik videonya," kongsinya.
Dalam pada itu, ibu kepada dua cahaya mata tersebut pula mendedahkan dia terfikir Syed Saddiq selepas melihat wajah ahli politik berkenaan sesuai untuk memegang watak doktor dalam muzik videonya.
"Kenapa terfikir YB? Sebab kita tengah cari doktor, muka doktor. YB pula ketika itu masih memakai kaca mata," kongsinya.
Selepas itu, hubungan mereka semakin rapat apabila bekerjasama dalam rangka promosi jenama pakaian.
Namun, menurut Syed Saddiq, momen yang membuatkan dirinya mula mengenali Bella lebih daripada seorang kawan berlaku ketika mereka mendaki Gunung Kinabalu.

Layanan Bella terhadap keluarga serta karakternya sebagai seorang ibu turut menjadi antara perkara yang membuatkan hati Syed Saddiq tertarik.
"Ketika itu mula saya kenal Bella melebihi seorang kawan. Terutama ketika kami mendaki Gunung Kinabalu,"
"Saya agak terkejut dengan Bella kerana tiada latihan pun dia masih boleh fokus dan boleh buat. Itu adalah sesuatu yang saya rasa persamaan antara kami.
"Dari sudut saya sebagai keluarga, semangatnya sebagai ibu kepada anak-anaknya, itu memang luar biasa. Di situlah permulaan kami kenal dengan lebih erat dan rapat ," kongsi Syed Saddiq.
Dalam pada itu, bekas presiden parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu mendedahkan dirinya terlebih dahulu meluahkan perasaan suka kepada Bella.
Bagaimanapun, beliau mengakui perasaan tersebut tidak terus diluahkan dengan kata-kata cinta, sebaliknya bermula dengan pengakuan yang lebih sederhana.
"Ia ada proses, tak boleh terus ucap I love you. Saya kena jujur, tak boleh menipu," kongsinya.
Sementara itu, Bella pula menyambut ucapan itu dengan mengatakan turut menyukai ahli politik muda itu.

"Dia tidak katakan 'I love you' tetapi ucapkan 'I like you'. Dia kata saya tak paksa, saya hanya meluahkan apa yang saya rasa tentang awak.
"Saya katakan 'I like you too.' Ketika itu Ya ALLAH saya rasa janggal.
"Saya tidak tahu bagaimana untuk memberi reaksi mahupun respons kerana bila agaknya kali terakhir orang beritahu 'I like you'," tutur Bella.
Sekadar info, Bella dan Syed Saddiq telah bertunang pada 28 Mac lalu.
Pasangan itu bakal melangsungkan pernikahan pada 10 Oktober ini.






