KUALA LUMPUR – Polis meminta bantuan orang ramai mengesan lelaki berusia 49 tahun yang dilaporkan hilang dari sebuah rumah di Taman Sri Sentosa, Batu 6½, Jalan Klang Lama di sini sejak 5 April lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan lelaki tempatan berusia 49 tahun itu pada 2 Jun lalu.
"Individu terbabit dikenali sebagai S Muruges, lelaki itu kali terakhir dilihat berada di kawasan Taman Sri Sentosa," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Chang Hook berkata, sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan keberadaan individu berkenaan supaya tampil membantu siasatan.
"Orang ramai boleh menghubungi Ketua Polis Balai Petaling, Inspektor S Pravin di talian 014-9445601 atau menyalurkan maklumat kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222.
"Maklumat juga boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.






