Susut 10kg, Jaslinda nak cepat sihat hadir konvo anak, kembali bekerja. ' 'Tiada gangguan mistik dalam hutan'

LocalHealth & Fitness
8 Jun 2026 • 7:51 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Susut 10kg, Jaslinda nak cepat sihat hadir konvo anak, kembali bekerja. ' 'Tiada gangguan mistik dalam hutan'
Foto:Bernama, Ihsan Berita RTM

PENDAKI wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang ditemui selamat selepas hampir dua minggu hilang di kawasan hutan Gunung Batu Putih bersemangat untuk segera pulih dan keluar dari hospital bagi menghadiri majlis konvokesyen anaknya.

Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Jaslinda kepada Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi ketika melawat wanita itu di Hospital Tapah, Perak.

Jaslinda difahamkan sihat, ceria dan menunjukkan perkembangan positif selepas ditemukan selamat Sabtu lalu.

"Daripada perbualan kami tadi, semangat beliau memang sangat tinggi. Recovery beliau juga semakin cepat.

"Beliau beritahu mahu cepat keluar hospital kerana ingin menghadiri konvokesyen anaknya dan kembali bekerja," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Azlan Helmi juga berkata, Jaslinda tidak mengalami sebarang unsur mistik atau gangguan luar biasa sepanjang tempoh berada dalam hutan.

"Dia berkongsi bahawa sepanjang berada di dalam hutan tidak ada gangguan mistik seperti yang diperkatakan sesetengah pihak.

"Dia hanya bergantung kepada sumber air untuk terus hidup dan tidur dalam keadaan baik tanpa sebarang gangguan," katanya selepas lawatan tersebut.

Jaslinda turut memaklumkan dia membawa wisel sepanjang berada di dalam hutan dan kerap meniupnya sebagai usaha mendapatkan perhatian pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Eksekutif rantaian bekalan itu juga mendengar bunyi helikopter yang menjalankan operasi pencarian, namun tidak dapat melihatnya kerana keadaan hutan yang terlalu tebal.

Sementara itu, Pengarah Hospital Tapah, Dr Wan Immi Salim berkata, Jaslinda dianggarkan susut hampir 10 kilogram (kg) sepanjang tempoh berada di dalam hutan.

Walaupun, berat yang turun tidak dapat ditentukan dengan tepat, perbezaan ketara dapat dilihat antara ketika dia pergi mendaki dan ketika ditemui.

“Saya boleh katakan mungkin hampir 10kg.

“Dia mengalami beberapa luka pada badan akibat berada lama di dalam hutan selain kecederaan pada kaki. Di kaki beliau ada simen, tapi bukan simen penuhlah.

“Perubahan yang ditunjukkan sangat positif dan beliau juga gembira kerana dapat bertemu semula dengan ahli keluarga,” katanya,” katanya.

Pihak hospital menjangkakan Jaslinda boleh dibenarkan pulang dalam masa beberapa hari lagi sekiranya tiada sebarang komplikasi atau perubahan pada keadaan kesihatannya.

Katanya, pemeriksaan turut mendapati, tiada kecederaan pada kepala atau otak walaupun mangsa memaklumkan pernah terjatuh beberapa kali sepanjang berada di dalam hutan.

“Pada peringkat awal rawatan, beliau memaklumkan terjatuh hampir 5 meter ke dalam gaung sehingga menyebabkan beliau hilang arah.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan dan saringan yang dijalankan mendapati tiada kecederaan pada kepala atau otak, hanya luka-luka luaran sahaja,” katanya.

Sumber: Sinar Harian