Sensor kamera berteknologi CMOS memerlukan sumber cahaya yang baik untuk merakam video serta gambar. Tanpa cahaya yang mencukupi, isu hingar dapat dilihat dan sehigga kini ia belum mampu diselesaikan 100%. Canon telah mencipta teknologi sensor Single Photon Avalanche Diode (SPAD) yang menyelesaikan isu pada tahun 2021. Minggu ini mereka akhirnya melancarkan Canon MS-500 sebagai kamera pertama dengan sensor SPAD.

Menurut Canon dengan sensor SPAD yang mengesan foton cahaya, video berwarna boleh diambil dalam keadaan gelap gelita. Bersamaan keterangan hanya 0.001 Lux iaitu malam tanpa bulan di angkasa. Sebagai perbandingan keterangan malam dengan bulan mengambang ialah 0.05–0.3 Lux. Kamera MS-500 direka khas untuk kegunaan industri keselamatan untuk pemantauan di waktu malam.

Sensor SPAD ini hanya sebesar 3.2 MP tetapi mengesan foton cahaya yang apabila menyentuh sensor akan digandakan sehingga sejuta kali. Ini membolehkan gambar dan video diambil dalam situasi sensor CMOS hanya akan menangkap bingkai hitam. Menurut Canon, apabila MS-500 dipadankan dengan lensa zoom, ia boleh mengambil gambar serta video objek yang jelas walaupun terletak beberapa kilometer jauhnya.

Kamera Canon MS-500 dijual pada harga $ 25,200 (~RM 114,900) sebuah bermula September ini tanpa lensa. Ia boleh menerima sebarang lensa dengan cagak B4 yang digunakan pada kamera videografi profesional.
- Sumber
- Canon
