DJI dilihat mempelbagaikan lagi portfolio dron bersaiz kompak serta boleh dilipat keluarannya dengan produk baharu, iaitu Air 3. Dron baharu ini hadir dengan sistem dwi-kamera utama dengan saiz sensor yang sama tetapi panjang fokus berbeza. Ianya terdiri dengan kamera sudut lebar CMOS 1/1.3-inci dan kamera telefoto CMOS 1X 1/3.3-inci yang dimuatkan dalam tubuh dron yang masih serba ringan dengan berat kira-kira 750 gram.

Dalam pada itu dron baharu ini juga boleh merakam video mendatar sehingga 4K/30fps dan secara menegak pula yang dihadkan kepada 2/7K. Selain itu ia turut menawarkan pelbagai pilihan untuk kemampuan penjejakan objek secara automatik menerusi fungsi ActiveTrack 5.0, Point of Interest 3.0, QuickShots dan Spotlight 2.0.
Terdapat juga fungsi MasterShot yang membolehkan dron melakukan pergerakan kamera yang pelbagai secara automatik. Ini termasuklah untuk kegunaan merakam pelbagai klip, menyunting klip dan menambah muzik bagi menghasilkan rakaman sinematik dengan cara lebih cepat dan mudah.

Seterusnya sokongan sistem trasmisi OcuSync 4.0 serba baharu yang disertakan pula membolehkan dron ini terbang dengan jarak video lebih jauh sehingga 20KM. Dengan ciri Waypoint Flight pula, pengguna boleh merancang laluan penerbangan dron terlebih dahulu bagi tujuan proses rakaman lebih mudah, khususnya video jenis timelapse jangka panjang seperti merakam peralihan antara waktu siang ke malam, atau musim ke musim. Bateri yang disertakan pula mampu membolehkan dron ini terbang selama 46 minit dengan sekali pengecasan.

Bagi yang berminat, DJI Air 3 dijual di Malaysia dengan harga jualan bermula RM4,799 untuk dron sahaja. DJI juga menawarkan pek pembelian kombo untuknya yang didatangkan dengan dua pilihan, sama ada DJI Air 3 Fly More Combo (DJI RC-N2) pada harga RM5,799 dan DJI Air 3 Fly More Combo (DJI RC 2) pula pada RM6,589.

