
BERITA perpisahan pelakon, Yusuf Bahrin dan penyanyi, Zizi Kirana pada hari ini nyata mengejutkan para peminat.
Perkhabaran tersebut pantas menjadi perhatian ramai yang tidak menyangka hubungan mereka akan berakhir di titik ini.
Yusuf yang ditemui media memaklumkan, dia telah sedaya upaya menyelamatkan perkahwinan mereka dan pasrah berpisah dan mahu mengekalkan hubungan baik.
"Mana ada pasangan yang hendak perceraian, tetapi semua ini telah tertulis.
"Terima kasih kerana hadir. Hari ini adalah hari perceraian saya dengan dengan bekas isteri, Zizi Kirana. Seperti apa yang saya beritahu tadi, tiada pasangan yang berkahwin dalam dunia ini sukakan perceraian.
"Kisah hidup dia dengan saya, inilah pengakhirannya. Saya tidak pernah jangka dan akan terjadi dalam hidup ini.
"Kami sudah cuba setiap upaya untuk selamatkan tetapi berakhir begini. Tetapi kami berpisah secara baik dan tiada permusuhan atau ada apa-apa dendam. Alhamdulillah.

"Jadi saya minta doa daripada kalian semua, dan yang lain-lain yang menonton (video) ini nanti. Doakan kebahagian kita dan kebahagiaan orang lain, insya-ALLAH," kongsinya.
Dalam pada itu, aktor berusia 34 tahun berkenaan enggan mendedahkan tarikh permohonan perceraian yang difailkan oleh bekas isterinya.
Selepas episod duka itu, Yusuf yang juga pelakon fiem Telekinesis dan The Lord Musang King akan memberikan fokus kepada kerjaya selepas ini.
Malah, Yusuf turut menegaskan bahawa hubungan baik antara mereka akan terus dikekalkan walaupun tidak lagi bergelar suami isteri.
Kedua-duanya sepakat untuk saling menyokong antara satu sama lain, khususnya dalam meneruskan kerjaya masing-masing.
"Fokus kerjalah, kerjaya masing-masing.
"Saya akan terus support dia dan dia akan terus support saya, insya-ALLAH," tuturnya.
Sementara Zizi Kirana yang hadir bersama peguamnya menyatakan kesyukuran selepas prosiding berakhir.

"Alhamdulillah, doakan yang baik-baik semua, insya-ALLAH," kongsinya yang turut ditemani Datin Umie Aida dan pendakwah, Ustazah Asni Mansor.
Terdahulu, Yusuf dan Zizi tiba di Mahkamah Syariah Daerah Petaling, Subang Bestari kira-kira jam 8.40 pagi.
Imbas kembali pada Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, kedua-duanya dilihat meraikannya secara berasingan.
Yusuf terdahulu berkongsi foto sambutan 1 Syawalnya di Melaka tanpa kelibat Zizi sementara Zizi pula memuat naik gambarnya beraya di Sabah dengan keterangan Team Raya Sabah.
Sekadar info, Yusuf dan Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah binti Mad Tahil, 41, berkahwin pada September 2021 selepas sebulan bertunang.
Kedua-duanya berkenalan ketika rakaman program hiburan, All Together Now Malaysia.

