
IKATAN perkahwinan selebriti Yusuf Bahrin dan Zizi Kirana yang hampir berusia lima tahun akhirnya terlerai selepas kedua-duanya sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada Khamis.
Peguam syarie yang mewakili Zizi yang dikenali sebagai Haiza ketika ditemui SinarPlus memaklumkan talak telah dilafazkan kepada anak guamnya.
"Prosiding pada hari ini di Mahkamah Rendah Syariah Petaling adalah satu permohonan perceraian di bawah seksyen yang mana pihak-pihak iaitu Zizi dan juga Yusof kedua-duanya bersetuju untuk permohonan perceraian ini dan pada hari ini, di mahkamah di hadapan Hakim Muhammad Syafiullah Hamzah telah direkodkan satu lafaz perceraian Yusof terhadap Zizi dengan talak satu secara rajie.
"Jadi keduanya dapat menjalankan kes pada hari ini dengan baik.
"Itu sahajalah yang kita nak jelaskan pada hari ini," kongsinya.
Terdahulu, pasangan tersebut tiba di mahkamah kira-kira jam 8.40 pagi.
Sekadar info, Yusuf dan Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah binti Mad Tahil, 41, berkahwin pada September 2021 selepas sebulan bertunang.
Kedua-duanya berkenalan ketika rakaman program hiburan, All Together Now Malaysia.

