
JAKARTA – Gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 menggegarkan luar pantai Pulau Flores di timur Indonesia hari ini, mengorbankan sekurang-kurangnya seorang mangsa dan memaksa beribu-ribu penduduk melarikan diri.
Penduduk di rantau Nagekeo iaitu kawasan paling hampir dengan pusat gempa, bertempiaran lari ke kawasan lebih tinggi apabila air laut surut, menjadi petanda kemungkinan berlakunya tsunami, demikian menurut pemerhatian wartawan AFP.
Amaran tsunami ditarik balik kemudian tetapi orang ramai diingatkan tidak kembali ke dalam bangunan atau kediaman yang rosak kerana dikhuatiri gempa susulan boleh menyebabkannya runtuh.
Penduduk Nagekeo, Yohanes Babo, 56, berkata, dia berada di pasar apabila bumi mula bergoncang.
‘Gegaran sangat kuat. Mujurlah kami sudah berada di luar rumah.
“Orang ramai panik dan berlari ke sana sini. Kami berpindah buat sementara waktu dan cuba menuju ke kawasan bukit. Keluarga saya selamat. Tiada siapa yang tercedera,” katanya kepada wartawan AFP.
Pusat gempa cetek itu terletak di luar pantai di utara pulau berkenaan, kira-kira 68 kilometer ke barat laut bandar pesisir Ende, kata pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Indonesia.
Gempa itu diikuti oleh gegaran susulan yang kuat di kawasan sama, termasuk gempa bermagnitud 6.1.
Pegawai kecemasan pada mulanya melaporkan dua kematian, tetapi kemudian mengemaskini angka tersebut kepada seorang terkorban dan empat cedera.
Tahap kerosakan sebenar masih dinilai, dengan rakaman televisyen menunjukkan pasukan penyelamat menggeledah runtuhan di Maumere, sebuah bandar di utara Pulau Flores bagi mencari mangsa yang terperangkap.
Indonesia dan negara-negara jiran kerap mengalami gempa bumi kerana kedudukannya di ‘Lingkaran Api’ yang merupakan lengkungan aktiviti seismik sengit, membentang dari Jepun menerusi Asia Tenggara dan merentasi Lembangan Pasifik.
Flores pernah dilanda gempa bumi kuat 7.7 magnitud pada 1992 yang mencetuskan tsunami dan mengakibatkan kira-kira 2,500 orang terkorban.– AFP
The post ‘Kami bertempiaran lari ke bukit’ appeared first on Kosmo Digital.





