
KOTA BHARU – Pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan, Abbe Hea menegaskan dia bersama rakan-rakannya hanya melakukan tinjauan kehadiran warga asing termasuk etnik Rohingya di sekitar bandar raya ini, kelmarin.
Abbe Hea atau nama lengkapnya, Mohd. Azhan Mohd. Adnan berkata, sebelum tinjauan, beliau mengingatkan rakan-rakannya agar tidak melakukan provokasi atau menyentuh mana-mana individu sepanjang berada di lokasi tersebut.
Katanya, tinjauan itu bermula di Dataran Masjid Muhammadi di sini sebelum kumpulannya bergerak ke Jalan Dato’ Pati dan Pasar Pokok Pinang.
“Ketika berada di Jalan Dato’ Pati, saya melihat seorang pekerja yang sedang menebar roti canai melarikan diri tanpa memadamkan api dapur memasak selepas menyedari kehadiran kumpulan kami.
“Saya kemudian bertanyakan perkara itu kepada pemilik kedai sebelum wanita tersebut memaklumkan pekerjanya adalah etnik Rohingya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Abbe Hea berkata, beliau kemudiannya menegur pemilik kedai secara baik dan menasihatinya supaya mengambil pekerja tempatan.
Katanya, beliau turut memaklumkan pihak berkuasa tempatan boleh mengambil tindakan berhubung perkara tersebut.
“Tinjauan kemudian diteruskan ke Pasar Pokok Pinang dan mendapati ramai warga asing melarikan diri, manakala beberapa individu lain masih berada di kawasan itu untuk membeli-belah.
“Semasa tinjauan, saya melihat longgokan barangan perniagaan yang didakwa ditinggalkan oleh warga asing yang berniaga di situ,” ujarnya.
Abbe Hea berkata, beliau turut bertegur sapa dengan beberapa individu dipercayainya warga Bangladesh di sebuah kedai menyerupai kedai makan.
Katanya, beliau turut menasihati mereka supaya bekerja dengan baik bagi menyara anak serta isteri di negara asal selain bekerja dalam sektor yang dibenarkan. – KOSMO! ONLINE
The post Kami hanya buat tinjauan lihat warga asing, Rohingya – Abbe Hea appeared first on Kosmo Online.






