
BATU PAHAT - Seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan sekelasnya, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, awal bulan ini.
Tertuduh berusia 16 tahun itu hanya mengangguk sebagai tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan membunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Identiti tertuduh tidak boleh didedahkan berikutan usianya yang masih di bawah umur, malah pengamal media juga tidak dibenarkan memasuki bilik mahkamah ketika prosiding berlangsung.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian mangsa antara jam 2.30 petang hingga 4 petang pada 3 Oktober lalu di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.
Sekiranya hukuman mati tidak dikenakan, tertuduh juga boleh dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Juanita Mohd. Said dan Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias dan Suhaila Shafi’uddin.
Mahkamah menetapkan 22 Disember depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Yong Peng sementara menunggu laporan forensik dan bedah siasat disiapkan, sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Mahkamah turut memutuskan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin memandangkan dia berdepan pertuduhan membunuh.
Sementara itu, peguam Mohd. Azlan Shah memaklumkan, tertuduh akan ditempatkan di sel berasingan daripada tahanan lain.
Pada 3 Oktober lalu, Irene Sofiya ditemukan meninggal dunia di dalam dewan sekolah berkenaan kira-kira jam 5.30 petang, dengan kematiannya disyaki mempunyai unsur jenayah.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
Susulan kejadian itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Getaran, 15 Oktober 2026






