
PETALING JAYA – Aktivis masyarakat, Abbe Hae bersama 15 individu lain terpaksa bermalam di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu selepas dipanggil memberi keterangan berhubung tindakan mereka menerjah sebuah kedai yang didakwa menggaji warga asing.
Beliau yang juga Pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan berkata, dia hadir ke IPD Kota Bharu kira-kira pukul 3 petang semalam sebelum keterangannya diambil pihak polis.
Menurutnya, dia pada awalnya merancang untuk membantu seorang warga emas yang tinggal di pondok kecil tanpa dinding di Jalan Pantai Cahaya Bulan selepas selesai memberi keterangan.
Bagaimanapun, dia bersama 15 individu lain terpaksa bermalam di lokap sebelum dibebaskan pada tengah hari ini.
“Abbe tak kisah bermalam di IPD demi sebuah perjuangan untuk anak bangsa Abbe.
“Apa yang membuat Abbe rasa amat terkilan adalah Abbe dan 15 yang lain terpaksa dibuat kawad cam dan cop jari 10,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook, hari ini.
Abbe Hae atau nama sebenarnya, Mohamad Azhan Mohamed Adnan mendakwa tiga wanita yang membuat laporan polis terhadap mereka berada di sebalik cermin ketika proses pengecaman dijalankan.
Antara individu yang turut ditahan bersamanya ialah Datuk Mizan dari I Sejahtera Malaysia, Tengku Harith daripada Pengurusan Jenazah Pasir Puteh serta pengasas Pusat Pemulihan Akhlak dan Dadah Manzilu Rahmah, Abe Aziz.
Abbe Hae turut mendakwa pihaknya mempunyai rakaman video bertarikh 17 Oktober kira-kira pukul 8 malam yang menunjukkan kaunter kedai berkenaan dijaga oleh warga asing.
Katanya, rakaman itu akan diteliti sebelum pihaknya mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap individu terbabit.
“Abbe sebenarnya kasihan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kalian tapi tengok dululah macam mana. Abbe akan fikir dulu. Beberapa peguam dah pun bersedia untuk Abbe,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Abbe Hae tidur lokap lepas terjah ‘port’ warga asing appeared first on Kosmo Online.






