KOTA BHARU – Keluarga kepada pemuda orang kurang upaya (OKU) pembelajaran yang maut dipercayai dipukul di Bachok mahu pihak berkuasa merungkai motif sebenar kejadian yang meragut nyawa mangsa.
Adik mangsa, Nur Aina Mohd Zainal, 18, berkata, keluarganya masih tidak mengetahui punca kejadian yang menyebabkan abangnya, Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal, 20, cedera parah di kepala hingga meninggal dunia selepas 17 jam bertarung nyawa di hospital.
Menurutnya, arwah tidak mempunyai musuh dan dikenali sebagai seorang yang pendiam serta tidak pernah menimbulkan masalah dengan sesiapa.
“Kami memang tidak tahu punca sebenar kejadian ini, sebab dia tidak pernah bergaduh dengan sesiapa.
“Kami hanya mahu tahu kenapa dia diperlakukan sebegitu dan apa sebenarnya yang berlaku,” katanya kepada pemberita di Kampung Karang, Banggu di sini di sini pada Rabu.
Muhammad Zakir Fikry ditemukan terbaring tidak sedarkan diri oleh penduduk di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati tepi jalan di Kampung Chap, Bekelam di sini pada Selasa.
Mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan sebelum meninggal dunia pada jam 12.55 pagi, Rabu.
Nur Aina berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas melihat gambar kecederaan abangnya yang dihantar oleh ahli keluarga kira-kira jam 7.30 pagi.
Katanya, selepas itu dia segera menghubungi bapanya yang ketika itu berada di tempat kerja sebelum dimaklumkan abangnya berada dalam keadaan kritikal di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian.
Menurutnya, pada malam kejadian, mangsa dikatakan keluar selepas meminjam motosikal majikan untuk mengambil barang, namun tidak pulang ke rumah.
“Beberapa jam kemudian kami dimaklumkan abang ditemui terbaring dengan kesan kecederaan sebelum dibawa ke hospital,” katanya.
Menurutnya, keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian tersebut.





