Kes Pelajar Maut Dirempuh Di Sekolah: Guru Dibawa Ke Mahkamah Untuk Tahanan Reman

LocalPolitics
13 Apr 2026 • 10:46 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semalam (12 April), media melaporkan satu kemalangan maut yang melibatkan seorang pelajar perempuan di depan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, Kota Bharu, Kelantan.

Mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian selepas pemandu kereta utiliti sukan (SUV) jenis Honda HR-V tertekan pedal minyak sehingga terbabas merempuh remaja itu.

Jelas Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner, Mohd. Azmir Damiri insiden itu berlaku sekitar jam 1.50 tengah hari membabitkan dua orang pelajar perempuan.

Memetik laporan Kosmo, siasatan awal dilakukan mendapati pemandu yang difahamkan guru di sekolah itu sedang memandu kenderaan berkenaan dalam kawasan sekolah berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kata Mohd. Azmir lagi, arwah, Nur Fatimatul Hawa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum di hantar ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian untuk dibedah siasat.

Manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan sedang menerima rawatan di Zon Merah di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan.

Guru akan direman di mahkamah pagi ini

Terbaharu, guru yang dipercayai merempuh dua pelajar berkenaan telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu pada pagi ini (13 April).

Pendidik berkenaan tiba di mahkamah dengan menaiki trak polis jam 8.40 pagi serta memakai baju lokap. Dia yang berusia 57 tahun itu akan direman di mahkamah, lapor Harian Metro.

Dalam pada itu, media melaporkan Allayarhamah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gayong dekat Taman Uda Murni, Kelantan pada jam 9 malam tadi (12 April) bersebelahan dengan pusara ibunya yang meninggal dunia pada lima tahun lalu.

KPM sedang lakukan siasatan dalaman

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan sedang melakukan proses siasatan dalaman bagi kes terbabit untuk meneliti pematuhan setiap prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan.

Menerusi satu kenyataan yang dikongsikan di Facebook, KPM menzahirkan rasa dukacita serta ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin yang terbabit dalam kemalangan tersebut.

“Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan seluruh keluarga diberi kekuatan serta ketabahan dalam menhadapi ujian berat ini.

“KPM sedang menguruskan bantuan terbaik kepada keluarga Allahyarhamah anakanda Nur Fatimatul Hawa. Aspek kebajikan dan kesejahteraan diberi perhatian.

“Kejadian ini sedang berada dalam siasatan pihak berkuasa. KPM juga telah memulakan proses siasatan dalam bagi meneliti pematuhan setiap SOP yang diberikan,” ujarnya.

Dalam masa sama KPM turut meminta semua institusi pendidikan yang berada di bawah kelolaannya untuk memastikan aspek keselamatan murid, guru serta seluruh warga institusi terpelihara.

image is not available

PM turut zahirkan ucapan takziah, nasihat insiden perlu dijadikan iktibar untuk hati-hati

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di X turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allayarhamah serta turut mendoakan seorang lagi mangsa yang cedera agar diberikan kesembuhan segera.

Beliau turut mengatakan tragedi itu harus menjadi iktibar serta peringatan kepada semua untuk sentiasa berhati-hati dan tidak cuai dalam setiap tindakan yang dilakukan.