‘Kami mahu siasatan telus untuk keadilan Rocky’

5 Aug 2026 • 5:30 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Kami mahu siasatan telus untuk keadilan Rocky’

PETALING JAYA – Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menjalankan siasatan secara telus terhadap kematian anjing peliharaan bernama Rocky yang tular di media sosial.

Presidennya, Kalaivanan berkata, pihaknya tidak membuat sebarang kesimpulan berhubung punca kematian haiwan itu kerana perkara tersebut perlu ditentukan menerusi siasatan rasmi DVS.

Menurutnya, SAFM hanya membantu pemilik mendapatkan panduan, sokongan serta bantuan guaman supaya kes berkenaan disiasat mengikut saluran yang betul dan berdasarkan bukti.

“Kami berharap DVS dan PDRM menyiasat kes ini secara telus kerana mungkin ada bahagian kejadian yang perlu diteliti sebelum video itu dirakam.

“Kami mahu kes ini melalui proses sebenar supaya keadilan dapat diberikan kepada Rocky,” katanya pada sidang akhbar Keadilan untuk Rocky di Rogue@Bukit Gasing, Petaling Jaya hari ini.

Kalaivanan berkata, berdasarkan maklumat diterima, Rocky didakwa dipukul pada bahagian kepala sebelum ditangkap dan ketika pemiliknya tiba di lokasi, anjing itu berada dalam keadaan dijerut pada bahagian leher.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, dakwaan tersebut masih memerlukan siasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa.
Dalam masa sama, beliau berkata, isu lesen haiwan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyebabkan kesakitan atau penderitaan terhadap haiwan peliharaan.

Menurutnya, SAFM turut mempersoalkan sama ada operasi tersebut mematuhi Pekeliling Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Bilangan 5 Tahun 2015 berkaitan penangkapan anjing terbiar.

Katanya, pekeliling itu menetapkan haiwan perlu ditangkap secara berhemah tanpa ditarik, disentap, diheret atau diangkat menggunakan gelung.

Sehubungan itu, beliau meminta Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menjelaskan status operasi tersebut termasuk anggota yang terlibat, peralatan digunakan dan laporan kejadian.

Tambahnya, kes Rocky bukan sekadar membabitkan seekor anjing, malah wajar dijadikan asas untuk meneliti semula SOP penangkapan haiwan oleh pihak berkuasa tempatan.

Terdahulu, media sosial dibanjiri dengan pelbagai pandangan dan luahan berkaitan kes kematian seekor anjing peliharaan bernama Rocky di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika operasi menangkap anjing liar yang dilaksanakan MBDK bersama penduduk taman pada pukul 10.50 malam, 29 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Kami mahu siasatan telus untuk keadilan Rocky’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved