
PETALING JAYA – Pemilik anjing peliharaan Rocky, Rohini Devi berharap siasatan berhubung kematian haiwan kesayangannya itu dijalankan secara telus agar punca sebenar dapat dirungkai dan keadilan diberikan kepada keluarganya.
Rohini berkata, dia menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain memilih untuk tidak mengulas di luar proses siasatan.
“Saya tidak mahu pergi ke sana sini. Saya tunggu laporan DVS. Apabila laporan itu keluar, saya harap keadilan dapat diberikan kepada Rocky,” katanya pada sidang akhbar Keadilan untuk Rocky di Rogue@Bukit Gasing, di sini hari ini.
Menceritakan semula insiden itu, Rohini berkata, dia pulang ke rumah selepas dimaklumkan Rocky ditangkap sebelum mendapati haiwan peliharaannya dijerut dan berusaha mendapatkan semula anjing tersebut.
Katanya, dia berkali-kali memberitahu individu yang berada di lokasi bahawa Rocky mempunyai pemilik dan sanggup menyerahkan anjing tersebut kepada pihak berkuasa.
“Kalau mahu ambil Rocky, saya sendiri boleh bawa dia. Saya mengaku Rocky tiada lesen, tetapi saya merayu banyak kali supaya mereka melepaskan jerutan itu,” ujarnya.
Rohini mendakwa rayuannya tidak diendahkan dan dia cuba memotong jerutan tersebut selepas meminta anaknya mengambil gunting sebelum menggunakan pisau, namun gagal kerana tali itu terlalu keras.
Menurut Rohini, beberapa minit kemudian pegawai Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) tiba di lokasi. Bagaimanapun, dakwanya ketika jerutan tersebut dibuka, Rocky didakwa sudah tidak bernyawa.
Rohini berharap hasil siasatan kelak dapat menjelaskan kejadian sebenar berlaku pada hari kejadian demi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seekor anjing peliharaan dikenali Rocky mati ketika operasi menangkap anjing liar yang dilaksanakan MBDK dengan kerjasama penduduk di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang pada pukul 10.50 malam, 29 Julai lalu.
Insiden itu mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, dengan orang ramai tampil menyuarakan pandangan berhubung kejadian berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Saya mengaku Rocky tiada lesen, tetapi…’ appeared first on Kosmo Digital.






