
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kebakaran hutan di Indonesia yang semakin melarat menyebabkan jerebu tebal di beberapa wilayah negara itu termasuklah negara jiran lain seperti Malaysia dan Singapura.
Asap beracun itu bukan sahaja menjejaskan kesihatan masyarakat, malah sekolah di beberapa negeri di Malaysia juga terpaksa ditutup kerana bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di paras Tidak Sihat.
Dalam masa sama, beberapa penerbangan juga perlu dibatalkan. Sebelum ini, media melaporkan penerbangan Firefly yang dijadualkan antara Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dan Lapangan Terbang Seletar di Singapura dibatalkan ekoran cuaca dan keadaan jerebu semasa.
Situasi Jerebu Masih Boleh Ditangani, Indonesia Tak Isytihar Bencana Nasional – Menteri Indonesia
Terbaharu, menurut Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan, Dudung Abdurachman, Indonesia tidak akan mengisytiharkan kebakaran hutan dan tanah yang berlarutan di negara itu sebagai bencana nasional buat masa ini.
Tegasnya, situasi itu masih boleh ditangani oleh pihak mereka. Jelas Dudung, keputusan itu dipersetujui ketika mesyuarat kabinet terhad yang dipengerusikan Presiden Prabowo Subianto di Istana Merdeka di Jakarta semalam (12 Oktober).
“Belum lagi, belum lagi. Kami masih berupaya menanganinya,” katanya.
‘Tawaran Bantuan Antarabangsa Tidak Dibincangkan Dalam Mesyuarat’ – Dudung
Tambah Dudung, sebarang tawaran bantuan antarabangsa bagi menyelesaikan isu jerebu tidak dibincangkan dalam mesyuarat terbabit. Namun beliau cakna mengenai kebimbangan ramai berhubung jerebu merentas sempadan pada ketika ini.
“Memang ada maklum balas daripada negara lain berhubung kebakaran hutan ini, namun kita telah berusaha secara maksimum.”
View on Threads
Anwar Ibrahim Telah Hubungi Prabowo Untuk Bincang Langkah Tangani Jerebu
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah menghubungi Prabowo bagi membincangkan langkah menangani keadaan itu.
Anwar turut menggesa kerjasama serantau dipertingkat bagi meredakan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan.
Indonesia Tak Beri Maklum Balas Berhubung Tawaran Bantuan Dari Malaysia Untuk Tangani Jerebu – Zahid Hamidi
Bagaimanapun menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Indonesia masih belum memberi maklum balas terhadap tawaran Malaysia untuk menghantar bantuan bagi memadamkan kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan.
“Kita menawarkan dengan ikhlas, tetapi tidak ada respon untuk kita membantu mereka. Kita ucapkan terima kasih.
“Dalam hal ini kita bersangka baik yang mungkin mereka tidak memerlukan bantuan kita. Saya katakan saya husnuzon ya,” katanya, lapor Sinar Harian.
Baca Artikel Berkaitan: Semua Sekolah Di Kawasan Catat IPU Lebih 180 Ditutup Mulai Esok, 9 Oktober
Baca Artikel Berkaitan: Jerebu: Kerajaan Indonesia Perlu Telus, Dedah 57 Syarikat Jadi Dalang Bakar Hutan – Sahabat Alam Malaysia
Prabowo Arahkan Usaha Pemadaman Kebakaran Di Taman Negara Tanjung Puting, Kalimantan Tengah & Sumatera Selatan
Sementara itu, Dudung memaklumkan bahawa Prabowo telah mengarahkan usaha pemadaman kebakaran khususnya di Taman Negara Tanjung Puting dan kawasan terjejas lain di Kalimantan Tengah, serta Sumatera Selatan.
“Tanjung Puting dan kawasan di sekitar taman negara itu mesti dilindungi kerana terdapat hidupan liar di sana,” katanya.
Untuk info, taman negara tersebut terkenal di peringkat antarabangsa bagi program pemuliharaan dan rehabilitasi orang utan.
View on Threads
Indonesia Digesa Isytihar Bencana Nasional, Jangan Anggap Bantuan Luar Sebagai Kelemahan – Daniel Johan
Sebelum ini, Ahli Suruhanjaya Keempat Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Daniel Johan menggesa kerajaan supaya mengisytiharkan kebakaran hutan dan tanah yang berlarutan di Indonesia sebagai bencana nasional serta bersikap terbuka terhadap bantuan antarabangsa.
Ini termasuklah tawaran sokongan pemadaman kebakaran daripada Malaysia.
Jelasnya, krisis itu memerlukan kerjasama serantau dan menerima bantuan luar tidak sepatutnya dilihat sebagai satu kelemahan.
Terdahulu sekitar akhir bulan Ogos, Prabowo berkata kebakaran hutan dan tanah di Indonesia telah mula dikawal di beberapa kawasan. Beliau juga menzahirkan harapan agar situasi itu dapat diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh satu atau dua minggu akan datang.
Baca Artikel Berkaitan: ‘Bukan Sekadar Hantar Asap, Kami Juga Kirim Oksigen Dari Hutan Kami’ – Ketua Badan Komunikasi Pemerintah Republik Indonesia [Video]




