Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memohon maaf kepada Malaysia dan Singapura berhubung kejadian jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan dan tanah yang menjejaskan kedua-dua negara berkenaan.
Prabowo menyampaikan permohonan maaf itu ketika berucap pada sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, Filipina.
AdvertisementView this post on Instagram
“Saya ingin memohon maaf kepada negara jiran, Malaysia dan Singapura, apabila kita berdepan kebakaran hutan yang sangat besar sehingga mengambil masa hampir empat bulan untuk dikawal.”
“Jerebu berkenaan turut merebak ke Malaysia dan Singapura,” katanya.
Kenyataan berkenaan turut dikongsi menerusi saluran YouTube rasmi Sekretariat Presiden Indonesia.
71,000 Anggota Dikerah Kawal Kebakaran
Menurut Prabowo, kerajaan Indonesia telah mengambil pelbagai langkah bagi mengawal kebakaran berkenaan termasuk mengerahkan kira-kira 71,000 anggota bomba hutan.
Bagaimanapun, operasi itu mengorbankan 16 anggota, manakala ramai lagi mengalami kecederaan.
Dua helikopter turut musnah sepanjang operasi memadamkan kebakaran berkenaan.
Usaha memadamkan kebakaran turut berdepan cabaran akibat fenomena El Nino yang menurut Prabowo merupakan yang paling buruk dalam tempoh 50 tahun.
Meskipun berdepan pelbagai cabaran dan kehilangan nyawa, beliau berkata kebakaran itu akhirnya berjaya dikawal secara berperingkat.
17 konsesi syarikat ditarik balik
Dalam aspek penguatkuasaan, Prabowo berkata kerajaan Indonesia telah menarik balik 17 konsesi syarikat, manakala 26 syarikat lagi sedang disiasat.
Sebanyak 11 syarikat telah didakwa di mahkamah, sementara 23 lagi berada dalam senarai untuk berdepan tindakan sama.
Secara keseluruhan, sebanyak 104 syarikat kini sedang disiasat pihak polis.
“Sekali lagi, bagi pihak kerajaan dan rakyat Indonesia, kami memohon maaf sekiranya tindakan kami telah menyebabkan penderitaan kepada rakyat Singapura dan Malaysia,” katanya.
Indonesia Mahu Perkukuh Pencegahan Kebakaran
Sementara itu, Sekretariat Presiden Indonesia memaklumkan negara itu turut merancang menubuhkan sebuah agensi baharu serta memperkenalkan beberapa program bagi memperkukuh usaha pencegahan kebakaran hutan secara lebih sistematik.
Pendekatan tersebut bertujuan mengubah fokus daripada kaedah yang hanya menumpukan kepada pemadaman kebakaran dan mengurangkan kesannya kepada usaha pencegahan yang lebih menyeluruh.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

Kekal Terajui Melaka, Ab Rauf Rasmi Angkat Sumpah Ketua Menteri Bagi Penggal Kedua
The post “Kami Mohon Maaf, Bukan Salah Kami” – Prabowo Minta Maaf Kepada Malaysia, Singapura Susulan Jerebu Rentas Sempadan first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.





