
MANILA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memohon maaf kepada Malaysia dan Singapura yang terjejas akibat kejadian jerebu rentas sempadan susulan kebakaran hutan.
Permohonan maaf itu disampaikan ketika beliau berucap pada sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, Filipina, semalam.
Menurut kenyataan Biro Akhbar, Media dan Maklumat Sekretariat Presiden Indonesia, Prabowo memberi jaminan pelbagai usaha digerakkan pihaknya bagi menangani kebakaran hutan dan tanah berkenaan.
Bagaimanapun, kebakaran yang berlarutan hampir empat bulan itu menyebabkan jerebu merentasi sempadan sehingga menjejaskan komuniti di Malaysia dan Singapura.
“Kerajaan Indonesia mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap syarikat yang terbabit dalam kebakaran hutan dan tanah, selain mengambil tindakan penguatkuasaan termasuk pembatalan konsesi serta prosiding undang-undang.
“Kita sudah membatalkan 17 konsesi syarikat. Sebanyak 26 syarikat sedang disiasat dan 11 sudah didakwa. Sebanyak 23 lagi syarikat dijadualkan didakwa, manakala keseluruhannya 104 syarikat sedang disiasat pasukan polis,” katanya.
Indonesia turut menggerakkan 71,000 anggota bagi operasi memadam kebakaran hutan, dengan 16 daripadanya terkorban, manakala ramai yang cedera.
Prabowo turut mengakui terdapat keperluan pendekatannya ditambah baik dalam menangani isu berkenaan.
Ia termasuk lebih agresif dalam usaha mencegah kebakaran hutan berbanding hanya menumpukan kepada operasi pemadaman dan mitigasi sebelum ini.
Susulan itu, katanya, sebuah agensi baharu akan ditubuhkan untuk melaksanakan pelbagai program memperkukuhkan usaha pencegahan kebakaran hutan dan tanah di negara itu pada masa hadapan.
The post Prabowo mohon maaf punca jerebu di Malaysia, Singapura appeared first on Utusan Malaysia.






