
TUMPAT – Suasana pilu menyelubungi kawasan rumah keluarga pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) yang dibunuh suaminya di Nilai, Negeri Sembilan apabila dua anak perempuan dan ahli keluarga Allahyarham Norhazwani Ibrahim, 35, menangis sebaik sahaja jenazah tiba di rumah di Kampung Banjir, Pengkalan Kubor, di sini awal pagi tadi.
Dua anak mangsa, Nordianisa Sofia Mohd. Khairuddin, 6, dan adiknya, Noralisa Amara, 5, menangis dalam keadaan meronta-ronta tidak mahu keluar dari bilik walaupun dipujuk oleh ibu saudara, Marliza Ibrahim, 48 tahun yang juga penjaga mereka sejak kecil.

Abang kepada arwah Norhazwani, Mohd. Hazwan, 38, berkata, dia mewakili keluarga mengucap terima kasih kepada semua pihak yang mengurus jenazah adiknya untuk dibawa pulang.
Menurutnya, jenazah adiknya tiba di rumah kira-kira pukul 1 pagi tadi untuk disolat sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Tanjong, Pengkalan Kubor, di sini.
“Saya reda dengan kejadian yang berlaku kepada Allahyarham Norhazwani. Saya masih terkejut dan terkilan dengan kejadian yang menimpanya kerana arwah meninggalkan kami sekeluarga tidak sampai 12 jam saya keluar dari rumahnya.
“Kami sekeluarga sangat menghargai usaha semua pihak termasuk warga AKPS kerana mengurus jenazah adik saya dan memudahkan urusan semasa di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, Negeri Sembilan,” ujarnya.
Terdahulu, lebih 100 keluarga terdekat hadir pada upacara pengebumian Allahyarham Norhazwani yang selesai kira-kira pukul 2 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE
The post Pegawai AKPS maut: Dua anak, keluarga sambut kepulangan jenazah dengan air mata appeared first on Kosmo Online.






