TUMPAT - Pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang ditemukan maut di kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Nilai, Negeri Sembilan, Khamis lepas, disifatkan sebagai seorang yang rajin dan komited terhadap tugas.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AKPS SAC Datuk Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata Allahyarham Norhazwani Ibrahim, 35, yang baru menyertai agensi itu 1 Julai lepas selepas bertukar daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia, menunjukkan prestasi kerja yang baik sepanjang berkhidmat.
"Allahyarham kerap melakukan kerja lebih masa. Beliau seorang pegawai yang sangat bagus, rajin dan komited dengan kerja,” katanya ditemui pemberita di kediaman keluarga Norhazwani di Kampung Banjir, Telaga Lanas, Pengkalan Kubor, di sini malam tadi.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya juga tidak menerima sebarang maklumat mengenai masalah yang mungkin dihadapi Allahyarham sebelum kejadian.
**media[3681564]**
Mohd Nasaruddin berkata, AKPS Kelantan menyalurkan sumbangan kewangan bagi membantu meringankan beban keluarga Norhazwani termasuk untuk dua anaknya yang masih memerlukan sokongan keluarga.
ARTIKEL BERKAITAN: Penjawat awam maut dipercayai dibunuh suami
Pegawai kerajaan mati dipercayai dibunuh suami dalam proses cerai - Abang mangsa
Perselisihan rumah tangga dipercayai punca pegawai AKPS maut ditikam suami - Polis
Pegawai AKPS maut: Suami serah diri ke balai polis selepas tikam isteri, pisau dirampas
Pegawai AKPS maut: Suspek sempat telefon abang ipar beritahu isterinya sudah tiada
Beliau berkata, sumbangan itu dikumpulkan daripada kalangan warga AKPS Kelantan manakala agensi itu juga akan meneliti bentuk bantuan kebajikan lain yang bersesuaian untuk keluarga Allahyarham khususnya khairat kematian.
Mohd Nasaruddin berkata bantuan kaunseling kepada keluarga Allahyarham juga mungkin diselaraskan oleh pihak ibu pejabat AKPS bagi membantu mereka menghadapi kehilangan berkenaan.
Pada Khamis lepas, Norhazwani ditemukan maut selepas disyaki ditikam suaminya di kuarters berkenaan dipercayai akibat perselisihan faham.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata polis menerima laporan mengenai kejadian pada 9.30 malam selepas suami mangsa berusia dalam lingkungan 30-an menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor memaklumkan kematian itu.
Lelaki itu kini direman hingga 22 Oktober ini bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama






