Kisah tragis menimpa pelajar tingkatan empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal yang ditemui maut di dewan sebuah sekolah di Yong Peng pada Sabtu (3 Oktober) lalu masih lagi menjadi bualan.
Terbaharu, keluarga Allahyarham Irene Sofia menjelaskan pihaknya bersedia untuk menerima kunjungan daripada keluarga suspek yang ditahan.
Jelas ibu saudara Irene Sofiya, Siti Nur Faeza Khyar, mereka sekeluarga tidak menutup pintu kepada mana-mana pihak yang datang dengan niat baik termasuk keluarga suspek.
“Kalau keluarga nak datang atau apa-apa, kami akan terima. Kalau datang dengan hati yang terbuka, kami akan terima semua,” katanya yang dipetik dari Astro Awani.
Walau bagaimanapun jelas Siti Nur Faeza, sehingga kini, mereka masih belum mendapat sebarang panggilan atau kunjungan dari keluarga suspek lelaki berkenaan sejak kejadian berlaku pada Sabtu lalu, lapor Harian Metro.
Dalam pada itu, dia turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada Raja Permaisuri Agong kerana keprihatinan dan kesudian baginda untuk menziarahi mereka.
“Kami ingin berterima kasih kepada Raja Permaisuri Agong atas perhatian dan kesempatan untuk bertemu dengan kami serta memberikan sedikit nasihat kepada keluarga,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Allahyarhamah Irene Sofiya ditemui dalam keadaan lemah sebelum disahkan meninggal dunia oleh nenek serta rakannya di dewan sekolah kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.
Ekoran kejadian tersebut, tiga rakan sekelas mangsa yang berusia 16 tahun ditahan.
Manakala, salah seorang daripada mereka yang merupakan pelajar lelaki berusia direman selama enam hari sehingga Jumaat (9 Oktober) bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.







