
SINGAPURA – Satu rakaman video memaparkan seorang pramugari memberitahu penumpang bahawa pesawat yang mereka naiki terlupa untuk mengisi bahan api dan perlu berpatah balik semasa berada di landasan menjadi tular di Facebook, Instagram serta Threads, lapor laman berita Singapore Uncensored.
Klip video dimuat naik ke Facebook malam kelmarin oleh akaun Wasabi Wasabi itu dirakam di dalam kabin pesawat yang malap pada waktu malam.
Seorang kru kabin wanita berjalan di laluan tengah dan bercakap dengan penumpang yang sedang merakam.
Teks dalam bahasa Mandarin pada hantaran tersebut memberitahu: “Tiba-tiba diberitahu, pesawat terlupa isi minyak.”
Audio yang disertakan menunjukkan penumpang bertanya di mana pesawat itu akan mengisi minyak dan pramugari itu membalas bahawa mereka perlu berpatah balik sambil menyatakan, pesawat kini berada di landasan.
Kru kabin sama menambah sambil tersenyum bahawa ini kali pertama dia berdepan perkara itu selepas berkhidmat dalam 200 penerbangan.
Tiada maklumat dalam klip video itu yang mengenal pasti syarikat penerbangan atau jenis pesawat. Juga, tiada lambang, nombor penerbangan atau laluan yang kelihatan, dan tiada syarikat penerbangan dinamakan dalam hantaran tersebut.
Sementara itu, ramai pengguna media sosial mempersoalkan kesahihan rakaman tersebut.
Mereka berkata, pesawat komersial melalui pemeriksaan bahan api pra penerbangan yang ketat dan insiden kehabisan bahan api di landasan adalah hampir mustahil di bawah prosedur normal.
Netizen lain pula berkata, pengumuman ‘terlupa isi minyak’ mungkin sekadar alasan untuk menutup masalah lain seperti isu mekanikal atau kelewatan, atau pun klip video itu dihasilkan sebagai lakonan sketsa.
Klip video ini muncul pada hujung minggu yang sama dengan insiden berasingan berkaitan bahan api yang disahkan melibatkan syarikat penerbangan China.
Pesawat Airbus A321neo milik Penerbangan Qingdao Airlines QW907 yang membawa 207 penumpang dan anak kapal, dilencongkan ke Kuala Terengganu di Malaysia pada Sabtu lepas setelah berlegar-legar selama lebih sejam akibat cuaca buruk.
Pesawat itu mendarat dengan selamat tetapi terkandas kerana Lapangan Terbang Sultan Mahmud tidak mempunyai kemudahan mengisi bahan api, menyebabkan bahan api perlu diangkut menggunakan lori dari Kuantan atau Kota Bharu.
Ia adalah kes lencongan cuaca, bukannya insiden terlupa untuk mengisi minyak. – AGENSI
The post ‘Kami terlupa isi minyak’: Video tular dakwa pesawat terpaksa berpatah balik appeared first on Kosmo Online.






