Kampung Forest koloni setinggan pertama nikmati bekalan elektrik

2 Nov 2023 • 1:13 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SANDAKAN: Kampung Forest telah dipilih sebagai lokasi projek perintis interim pembekalan elektrik bagi koloni setinggan di Sabah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar, keputusan Kerajaan dan Suruhanjaya Tenaga untuk meluluskan konsep dan pelaksanaan projek perintis ‘Independent Power Distributor’ (IPD) telah memberi jalan penyelesaian interim terhadap permasalahan penyambungan elektrik secara haram di kawasan berkenaan.

“Projek ini kini telah genap sebulan dilaksanakan di mana sebanyak 752 daripada 1,200 rumah yang terdapat di Kampung Forest ini telah pun mendaftar untuk mendapatkan perkhidmatan ini.

“Setakat ini, perkhidmatan ini telah pun berjaya disalurkan kepada 458 rumah. Perkhidmatan ini diberikan kepada penduduk setinggan tanpa mengira status warganegara.

“SESB telah membelanjakan RM3.5 juta untuk menyediakan tiang-tiang baharu, meter prabayar dan pendawaian,” katanya selepas melawat tapak projek IDP Kampung Forest pada pagi Selasa.

Jelasnya, inisiatif ini bertujuan untuk memastikan keselamatan manusia dan harta benda akibat aktiviti penyambungan haram.

“Dalam konsep ini, di samping membekalkan bekalan elektrik, kita juga membuat pendawaian di dalam rumah untuk pastikan pendawaian tu selamat.

“Kita juga mahu memastikan pengguna SESB di kawasan lain tidak mengalami gangguan bekalan akibat aktiviti penyambungan haram,” katanya.

Mohd Yaakob berkata, meskipun projek ini bersifat interim, ia masih mampu mengurangkan kerugian yang ditanggung SESB.

“Sementara kita menunggu halatuju daripada kerajaan berkenaan penempatan setinggan ini, SESB tidak boleh sentiasa mengalami kerugian, kita perlu menjaga pulangan kita,” katanya lagi.

Statistik daripada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah juga menganggarkan terdapat 31,470 rumah ataupun 224 koloni setinggan di seluruh negeri, dan jumlah ini dijangka akan meningkat lagi pada tahun hadapan.

Atas kejayaan projek perintis ini, SESB bakal meluaskan perkhidmatan ini ke kawasan setinggan lain seperti Sepanggar di Kota Kinabalu dan Batu Sapi di Sandakan.

Mohd Yaakob berkata, SESB berharap semua pihak akan menyokong langkah pertama ini untuk menyelesaikan permasalahan permintaan bekalan elektrik yang sah dan selamat di koloni setinggan di seluruh Sabah dan Labuan.

Syarikat swasta yang dilantik iaitu Village Support Service Sdn Bhd (VSSSB) mempunyai autonomi penuh terhadap hal-hal berkaitan permohonan dan penyambungan bekalan ke rumah penduduk Kampung Forest tanpa melalui SESB.

Di samping itu juga, infrastruktur pembekalan elektrik akan sentiasa dipantau oleh VSSSB bagi mengelakkan kejadian laku musnah terhadap pepasangan sedia ada, yang boleh menyebabkan gangguan bekalan kepada pengguna lain.

Sementara itu, seorang penduduk yang ditemui Daily Express, Sakkam Saddali, 59, berkata pihaknya amat berpuas hati dengan sistem prabayar pembekalan elektrik tersebut.

“Sebagai penduduk di kawasan ini, kami kini menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil di mana lampu pun menyala dengan baik, bukan seperti dahulu, berkelip-kelip akibat bekalan tidak stabil,” katanya.

Sakkam memberitahu, dia membelanjakan lebih RM200 sebulan kerana terdapat tiga peti sejuk dan beberapa peralatan elektrik lain bagi menampung keperluan 17 penghuni dalam rumahnya.

Dalam perkembangan lain, SESB akan memulakan langkah untuk memperkenalkan sistem meter pintar yang membolehkan pengguna memantau bil, dan SESB dapat mengesan sebarang aktiviti curi elektrik melalui sistem tersebut.

Sistem ini telahpun digunakan di Semenanjung Malaysia dan dilaksanakan di Sabah di mana fokus utama adalah kepada pengguna kuasa tinggi, komersil dan domestik.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.